TINDAKAN seorang lelaki menampar wanita dipercayai isterinya yang terakam dalam satu siaran langsung di media sosial tular baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat, khususnya mengenai isu keganasan dalam rumah tangga.
Meskipun pihak polis sedang menjalankan siasatan dan mengesan lelaki terbabit namun, kejadian itu jelas membuktikan tindakan sedemikian boleh memberi kesan jangka panjang selain turut mengakibatkan trauma.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, laporan yang dibuat oleh adik kepada mangsa mengesahkan kakaknya berusia 35 tahun telah ditampar suaminya berusia 59 tahun.
Katanya, polis kini sedang dalam proses merakam keterangan saksi berkenaan kejadian itu dan pada masa sama giat mengesan keberadaan suspek.
Siasatan polis berhubung insiden berkenaan menunjukkan pihak berkuasa mengambil serius terhadap laporan yang diterima dan tidak memandang ringan isu melibatkan keganasan rumah tangga.
Bahkan, pengaruh media sosial memainkan peranan penting dalam mendedahkan kejadian itu membuktikan masyarakat hari ini semakin peka terhadap isu sosial dan lebih berani membongkarkan perkara yang mungkin terjadi secara tersembunyi.
Justeru, keprihatinan masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga perlu dipupuk menerusi pendidikan dari awal bagi mencegah ia berlaku dalam sesebuah keluarga.
Masyarakat juga perlu lebih peka dan memberi sokongan kepada mangsa selain turut bertindak melaporkan sebarang kejadian berunsur keganasan yang berlaku.