SEOUL – Kedua-dua enjin pesawat Jeju Air yang terlibat nahas pada Disember 2024 mengandungi sayap dan kesan darah burung.
Laporan awal setebal enam muka surat itu didedahkan pihak berkuasa Korea Selatan, sebulan selepas tragedi yang meragut 179 nyawa mangsa penumpang.
"Terdapat DNA Baikal teal iaitu spesies itik penghijrah yang terbang ke Seoul ketika musim sejuk," menurut kandungan laporan itu dikeluarkan pada Isnin.
Tetapi, ia tidak memberikan kesimpulan awal tentang punca sebenar nahas 7C2216 yang cuba mendarat tanpa gear pendaratan dan mengapa perakam data penerbangan berhenti merekod kira-kira empat minit sebelum ia merempuh struktur konkrit di hujung landasan Lapangan Terbang Muan.
Pesawat itu berada pada altitud 152 meter dan terbang dengan kelajuan 298 kilometer sejam pada jarak kira-kira dua kilometer dari landasan ketika perakam penerbangan terhenti secara tiba-tiba.
"Selepas rempuhan itu, kedua-dua enjin terbenam ke dalam tanah manakala serpihan fiuslaj berselerakan kira-kira 30-200 meter," jelas laporan itu lagi yang berserta gambar di lokasi kejadian.
Penyiasat seterusnya akan melakukan siasatan lebih terperinci termasuk membuka keseluruhan enjin, memeriksa komponen, menganalisis data dalam penerbangan dan kawalan trafik udara bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi itu.
Difahamkan, laporan tersebut diserahkan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Thailand, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis yang merupakan pembuat pesawat dan enjinnya. - Agensi