Sindiket vape dadah warga asing tumpas, sitaan lebih RM500,000

Iklan
Raub (kiri) menunjukkan Maserati Granturismo yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru, pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Penahanan suspek kes samun bersenjata membawa kepada pembongkaran sindiket pengedaran dadah didalangi lima individu termasuk tiga warga Singapura dan seorang warga Thailand.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan di lokasi berbeza pada 17 Januari dan 22 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan susulan siasatan kes rompakan bersenjata dilakukan suspek warga tempatan berusia 36 tahun di sebuah kedai snuker di kawasan Stulang Laut.

"Dalam rompakan itu, suspek menggunakan sebilah pisau lipat dan melarikan wang tunai RM1,060 daripada juruwang bertugas.

Iklan

"Hasil siasatan itu, polis membuat tangkapan ke atas suspek di tepi Jalan Dato Abdullah Tahir di sini dan merampas beberapa barangan termasuk motosikal Yamaha LC, telefon bimbit serta beg berwarna hitam.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah heroin dan syabu kira-kira 3kg dibawa suspek dan hasil siasatan suspek mengaku menjadi ahli sindiket didalangi warga asing terbabit," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, pada Isnin.

Raub (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru, pada Isnin.

Raub berkata, polis seterusnya melakukan serbuan ke atas sebuah pangsapuri mewah di sini dan berjaya menahan keempat-empat suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita warganegara Singapura serta seorang wanita Thailand berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Ujarnya, hasil kedua-dua serbuan itu polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 2.27kg heroin, ganja (1.06kg), ketamin (590.66 gram), serbuk ekstasi (174 gram), syabu (6.3 gram), pil eramin 5 (1.3 gram dan 13.67 liter cecair disyaki dadah bernilai RM97,707.86.

"Sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak Disember tahun lalu menjadikan rumah pangsapuri mewah sebagai tempat memproses dadah termasuk membancuh cecair rokok elektronik atau vape berperisa dadah.

"Polis turut merampas sebuah kereta Maserati Granturismo, Proton Satria, motosikal jenis Honda CBR 150 serta mata wang Dolar Singapura serta ringgit Malaysia dan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan ialah RM524,227.86.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek positif dadah dan semakan mendapati lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Singapura mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kesemua suspek ujarnya, direman selama tujuh hari bermula 23 sehingga 29 Januari untuk membantu siasatan termasuk Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.