Keluarga tuntut siasat telus puluhan banduan didakwa dipukul warden penjara

Iklan
Ramasamy (kanan) menunjukkan kecederaan yang dialami banduan didakwa dipukul oleh warden penjara.

TAIPING - Keluarga kepada puluhan banduan tahanan di Penjara Taiping di sini, menuntut satu siasatan telus segera dijalankan ekoran dakwaan berlakunya kekasaran oleh sekumpulan warden, dua minggu lalu.

Lebih 50 orang terdiri ahli keluarga dan waris berhimpun mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap insiden itu hingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia disebabkan kecederaan perut akibat trauma tumpul, 17 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy berkata, puluhan aduan diterima daripada waris yang bimbang dengan keadaan ahli keluarga mereka didakwa dipukul beramai-ramai menggunakan cota dan gas pemedih mata.

"Kebanyakan banduan yang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu masih belum disabitkan kesalahan lagi dan mengikut undang-undang tidak sepatutnya mereka diperlakukan sedemikian.

Iklan

"Perkara ini terbongkar apabila seorang tahanan yang dibawa ke mahkamah memaklumkan kepada hakim bahawa rakan-rakannya cedera didera sekali gus menjawab persoalan kenapa waris ini tidak dibenarkan bertemu dengan ahli keluarga mereka.

"Alasan yang diberikan pihak penjara adalah kesemua mereka kononnya dikuarantin selepas dipindahkan dari Penjara Batu Gajah pada 16 Januari lalu," katanya kepada pemberita di hadapan Penjara Taiping sini pada Isnin.

Ramasamy bercakap di hadapan keluarga dan waris yang hadir berhubung insiden banduan tahanan dipukul oleh warden penjara di Penjara Taiping pada Isnin.

Iklan

Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu mengutuk keras tindakan penjara berkenaan hingga ada dalam kalangan banduan tahanan menerima beberapa jahitan akibat luka di kepala dan lebam keseluruhan badan.

"Biarlah mahkamah menentukan hukuman terhadap kesalahan mereka, janganlah sewenang-wenangnya mengambil tindakan sendiri.

"Kita minta satu siasatan dilakukan terhadap warden-warden penjara ini dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap insiden yang berlaku," katanya.

Sementara itu, anak kepada mangsa yang enggan dikenali berkata, kematian bapanya itu meruntun hati keluarga berikutan ia berlaku sebelum sempat dibicarakan atas kesalahan dadah.

"Sudah dua bulan tidak jumpa dan tiba-tiba kami dimaklumkan oleh pihak penjara yang ayah mati disebabkan sakit jantung namun, hasil bedah siasat memaklumkan sebaliknya.

"Kami menuntut satu kebenaran dan keadilan di atas kematian ayah. Kenapa dia dipukul dan siapa pelakunya, dia perlu menerima hukuman setimpal," katanya.

Bagi Ally, 50-an, dia tidak mengetahui nasib anaknya berusia 24 tahun yang dilaporkan turut cedera teruk dibelasah dalam insiden itu.

Lebih 50 orang berkumpul meminta siasatan telus dijalankan berhubung insiden kekasaran dilakukan warden penjara hingga menyebabkan seorang tahanan meninggal dunia.

"Menjadi rutin minggu saya akan jumpa anak saya di Penjara Batu Gajah dan kali terakhir jumpa pada 1 Januari lalu. Saya hubungi pihak Penjara Taiping untuk perjumpaan mengikut jadual namun, mereka memaklumkan anak saya dikuarantin.

"Minggu lepas saya diberitahu oleh rakan yang anak saya dibelasah tetapi tidak tahu teruk seperti apa. Saya marah apabila pihak penjara seolah-seolah cuba sembunyikan perkara ini," katanya.

Media melaporkan polis sudah merakam keterangan 82 individu bagi membantu siasatan kes berhubung kematian seorang banduan tahanan lelaki di Penjara Taiping disyaki dipukul warden.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, mereka yang diambil keterangan merupakan dua pegawai penjara serta 80 banduan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.