Pindah milik tanah: Selangor audit, siasat dalaman semua agensi kerajaan

Iklan
Amirudin (tengah) semasa sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, pada Isnin. Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan melaksanakan audit dan siasatan dalaman terhadap semua agensi kerajaan di negeri ini bagi mengesan kegiatan kartel pindah milik tanah secara tidak sah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah sama juga akan dibuat terhadap semua jabatan untuk mengatasi masalah tersebut dan mengelakkan ia berulang pada masa depan.

Iklan
Iklan

"Kita akan laksanakan audit, sebab timbul perkara ini (pindah milik tanah secara tidak sah).

"Kita terima saranan JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman) ini dan akan semak kemungkinan laksanakan audit di jabatan lain supaya boleh kenal pasti ada berlaku atau tidak perkara tersebut," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, pada Isnin.

Sinar Harian pada 21 Januari lalu melaporkan, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) mengesahkan tujuh kakitangan pejabat daerah dan tanah (PDT) Klang merupakan antara 17 penjawat awam ditahan berhubung kegiatan terbabit.

Iklan

Datuk Dr Yusri Zakariah berkata, semua tujuh kakitangan terbabit sudah dipindahkan ke jabatan lain dan tidak melibatkan urusan berkaitan kerja tanah.

Susulan itu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, agensi kerajaan termasuk PDT Klang perlu mengendalikan audit serta siasatan dalaman untuk menentukan sekiranya pejabat sama di daerah lain turut terbabit kegiatan itu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya turut memperketat tatacara operasi piawaian (SOP) sistem pengurusan tanah dalam talian (e-tanah) bagi memudahkan pengesanan kegiatan salah guna kuasa.

"Kita boleh kenal pasti siapa yang masuk dalam sistem dan bila masa (guna sistem). Kita wajibkan mereka daftar nama pengguna supaya kemasukan mereka dapat dikesan.

"Sistem ini ada risiko juga. Jadi kalau kita dapat urus dengan baik, kita akan dapat kesan,” ujarnya.