LIPIS - Rakyat di negeri ini diingatkan supaya menghindari sebarang persengketaan, khususnya yang berpunca daripada isu-isu sensitif seperti agama, kaum, dan institusi diraja (3R).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, isu-isu tersebut jika dieksploitasi boleh mencetuskan perpecahan yang akan memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negeri itu.
"Saya ingin menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk sentiasa mengamalkan sikap berfikir sebelum bertindak, khususnya dalam penggunaan media sosial.
"Jangan mudah terpengaruh dengan berita palsu, provokasi, atau kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jerkoh, Kampung Baru Jerkoh, di sini pada Isnin.
Ujar Wan Rosdy, rakyat memainkan peranan untuk memastikan keamanan dan kestabilan Pahang terus terpelihara.
"Dalam konteks ini, saya amat menghargai usaha pihak berkuasa dan pemimpin masyarakat dalam mendidik rakyat tentang pentingnya mengelakkan isu-isu sensitif," jelasnya.
Tambahnya, negeri Pahang amat bertuah kerana mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya.
"Kepelbagaian ini bukanlah satu kelemahan, tetapi adalah satu kekuatan yang menjadikan Pahang sebuah negeri yang unik.
"Sambutan Tahun Baharu Cina ini mengingatkan kita bahawa keharmonian yang kita kecapi adalah hasil usaha bersama dalam mengekalkan perpaduan, toleransi, dan saling menghormati," ujarnya.