62 tapak bazar Ramadan, Aidilfitri diluluskan di Johor Bahru

Iklan
MBJB meluluskan lesen penganjuran 62 tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri pada tahun ini. -Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) meluluskan dan mengeluarkan lesen penganjuran 62 tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri pada tahun ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, kawasan tersebut melibatkan 3,199 petak perniagaan dengan pembahagian 2,733 petak bazar Ramadan dan 426 lagi untuk bazar Aidilfitri.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jumlah tapak bazar kali ini menunjukkan peningkatan dengan 13 tapak baharu diberi kelulusan beroperasi.

"Hasil mesyuarat penuh MBJB pada pagi ini, permohonan lesen dan sewa tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri telah diluluskan.

Iklan

"Dalam tempoh sebulan sebelum Ramadan, penganjur dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam penganjuran bazar sudah boleh membuat tawaran kepada peniaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini hari ini.

Iklan

Mohd Haffiz yang juga bekas Datuk Bandar Iskandar Puteri menggalas jawatan sebagai Datuk Bandar Johor Bahru menggantikan Datuk Mohd Noorazam Osman yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Dalam pada itu, Mohd Haffiz turut mengingatkan penganjur bazar Ramadan untuk mematuhi aspek kebersihan dan tidak menyewakan tapak gerai kepada peniaga warga asing.

"Tindakan pemantauan akan dilakukan sepanjang tempoh penganjuran bazar. Ingatan sudah diberikan kepada penganjur supaya mengutamakan aspek kebersihan.

"Warga asing tidak dibenarkan berniaga di tapak bazar. Tindakan penguakuasaan akan diambil termasuk sitaan jika terdapat warga asing berniaga," katanya.

Mengenai penggunaan plastik di bazar Ramadan dan Aidilfitri, Mohd Hafiz menjelskan penggunaan bekas makanan polisterin sudah diharamkan MBJB sejak 2016.

"Larangan menggunakan polisterin sudah dikeluarkan dan orang ramai digalakkan membawa bekas makanan sendiri.

"MBJB menggalakkan kitar semula termasuk minyak masak yang digunakan peniaga," katanya.