PENAMPANG - Parti Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) berhasrat bertanding di 50 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan diadakan pada tahun ini.
Presidennya, Jack J Giau berkata, kerusi DUN yang bakal ditandingi itu merangkumi kawasan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM), bumiputera Islam dan kawasan yang mempunyai ramai pengundi Cina.
"Kita telahpun mengenal pasti calon dan kawasan DUN yang akan ditandingi namun parti Perpaduan tidak akan meletakkan calon di kawasan yang tiada peluang untuk menang.
"Kepimpinan Perpaduan juga tidak akan menurunkan pemimpin kitar semula dan mempunyai sejarah salah guna kuasa," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.
"Perpaduan sebelum ini tidak menyertai PRN kerana terlalu banyak parti berdaftar yang menyertai pilihan raya tersebut.
"Selain itu, beberapa penggal Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu parti ini telah menyokong beberapa calon dari pihak kerajaan. Presiden Perpaduan beranggapan bahawa kerajaan Sabah pada ketika itu ambil stabil dan sebab itu, tidak meletakkan calon pada pilihan raya yang lalu," katanya.
Jack berkata jika diberi mandat, parti itu berhasrat menukar gelaran jawatan Ketua Menteri Sabah kepaaa Premier dan Pembantu Menteri kepada Timbalan Menteri.
"Perpaduan juga tekad untuk membanteras amalan rasuah serta menghapuskan kronisme, nepotisme selain berjuang mengekalkan sistem rakan setara yang dipersetujui dan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Perpaduan tidak akan menggunakan naratif 'tolak parti Malaya' untuk meraih sokongan rakyat. Sabah yang berada dalam Persekutuan seharusnya mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan.
"Tetapi di peringkat negeri, kerajaan Sabah seeloknya diurus dan ditadbir oleh orang kita sendiri," katanya.