KLANG - Parti Amanah Negara (Amanah) menolak usul dikemukakan sayap wanitanya yang menggesa kerajaan meminda Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan agar tidak diadakan pilihan raya kecil (PRK) disebabkan oleh kekosongan luar jangka.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetapnya, Azhar Abdul Shukor susulan mendapat bantahan majoriti perwakilan yang menghadiri Konvensyen Amanah 2024 yang diadakan di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.
Terdahulu, Setiausaha Organisasi Angkatan Wanita Amanah (AWAN), Anis Afida Mohd Azli mengemukakan usul tersebut dengan mengambil kira perbelanjaan tinggi yang digunakan bagi mengadakan pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan data yang dikongsikan oleh seorang pakar perlembagaan sebelum ini, lebih RM66 juta dibelanjakan sejak PRK pertama diadakan pada 1999 hingga Mei 2016 dengan secara purata RM1 juta dibelanjakan untuk satu siri pilihan raya.
"Melihat kepada situasi ini, AWAN menggesa kerajaan untuk meminda Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, agar pilihan raya tidak perlu diadakan untuk mengisi kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh 60 hari dari tarikh pengisytiharan yang disebabkan oleh kematian penyandang.
"Pindaan tersebut (juga) perlu membenarkan kekosongan kerusi penyandang dinamakan penggantinya daripada parti yang memenangi kerusi tersebut.
"Hal ini dapat menjimatkan perbelanjaan negara serta semua pihak yang terlibat,” katanya.
Usul yang dikemukakan itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada kebanyakan perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut kerana dianggap tidak mengikut amalan demokrasi.