Pencuri telefon bimbit pekerja OKU ditahan

Iklan
Tangkap layar video memaparkan suspek dipercayai mencuri sebuah telefon bimbit di sebuah kedai.

MARANG - Seorang lelaki disyaki mencuri sebuah telefon bimbit milik pekerja kedai orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal di sebuah kedai runcit di Rhu Rendang di sini yang tular di media sosial ditahan pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Batin Perdana, Kuala Terengganu oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dan IPD Kuala Terengganu.

Iklan
Iklan

"Kejadian berlaku pada Selasa lalu apabila suspek datang ke sebuah kedai di Marang untuk membeli rokok. Lelaki berkenaan kembali 15 minit kemudian untuk bertanya mengenai tambah nilai prabayar telefon.

"Susulan itu, pada keesokan harinya anggota polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Taman Batin Perdana, Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, tular di laman Facebook Malaysian Crime Watch - MyWatch memaparkan video berdurasi 27 saat perbuatan suspek mencuri telefon bimbit milik pekerja kedai OKU dan bertindak melarikan diri di Rhu Rendang, Marang.

Mengulas lanjut, Mohd Sofian memaklumkan hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan mencuri dan penyalahgunaan dadah sejak 2017.

Iklan

"Suspek telah direman bermula Khamis lalu sehingga hari ini. Namun reman terhadap suspek disambung semula untuk lengkapkan siasatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," ujarnya.