Bukan lagi isu imigresen, penyeludupan PATI ancam keselamatan nasional - Pakar

Iklan
Laporan khas Sinar Harian 12 Oktober lalu berkenaan sindiket penyeludupan migran. Foto kecil: Noraini

SHAH ALAM - Isu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) bukan lagi sekadar isu imigresen, tetapi sudah berkembang menjadi ancaman keselamatan rentas sempadan.

Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Noraini Zulkafli @ Zulkifli berkata, isu ini melibatkan sindiket jenayah terancang, pemalsuan dokumen, pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mentakrifkan penyeludupan migran sebagai kemasukan seseorang secara haram ke sesebuah negara bagi memperoleh keuntungan kewangan atau material, lazimnya dikendalikan oleh rangkaian jenayah transnasional.

"Walaupun operasi penguatkuasaan berjaya meningkatkan tangkapan, pendekatan berasaskan penahanan semata-mata tidak mencukupi.

Iklan

"Dalam teori keselamatan moden, kejayaan sebenar diukur melalui kemampuan memutuskan rangkaian sindiket, aliran kewangan dan pihak yang mendapat keuntungan daripada penyeludupan migran, bukannya jumlah PATI yang ditangkap semata-mata," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelasnya, kemasukan PATI menunjukkan kelemahan kawalan sempadan dan boleh menjejaskan keupayaan negara mempertahankan integriti wilayahnya.

Iklan

Katanya, dalam keselamatan nasional, sempadan yang mudah dibolosi merupakan indikator kelemahan negara.

Tambah Noraini, jenayah ini turut memberi kesan risiko keselamatan dalaman, kesan ekonomi dan sosial serta ancaman keselamatan maritim.

"Walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan telah meningkatkan keupayaan negara mengekang kemasukan PATI, pendekatan yang berorientasikan penahanan dan pengusiran semata-mata tidak lagi memadai kerana ia hanya menangani kesan, bukannya memusnahkan struktur sindiket yang menjadi pemacu utama aktiviti penyeludupan," ujarnya.

Beliau berkata, kelemahan yang perlu ditambah baik ialah pemeriksaan penumpang berisiko tinggi menggunakan analisis risiko berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Selain itu, disyorkan pengesahan biometrik bersepadu antara pelbagai agensi antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi sempadan serantau selain Polis Antarabangsa (Interpol)," katanya.

Katanya lagi, laksanakan hukuman lebih berat terhadap majikan atau pihak berkuasa yang bersubahat selain memperluaskan sistem biometrik nasional bagi mengelakkan kemasukan berulang menggunakan identiti berbeza.

12 Oktober lalu, laporan khas Sinar Harian mendedahkan transit antarabangsa melalui lapangan terbang utama negara menjadi modus operandi terkini sindiket penyeludupan migran.

Sindiket penyeludupan dan pemerdangangan orang yang dikesan JIM kini semakin kompleks, bertingkat (multi-layered) dan sering mengubah modus operandi bagi menghilangkan jejak risikan oleh pihak berkuasa.

JIM mengesan beberapa laluan baharu yang digunakan warga asing, antaranya dari India atau Bangladesh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lokasi transit, sebelum meneruskan perjalanan melalui Singapura atau Hat Yai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan laluan transit berlapis menjadi pilihan, termasuk usaha mengelakkan sekatan kemasukan, risiko ditolak masuk ke Malaysia serta kos penerbangan.

Antara migran yang menggunakan laluan tersebut ialah individu yang telah disenarai hitam dalam sistem imigresen dan tidak boleh memasuki Malaysia secara terus melalui pintu masuk yang diwartakan.