Batal WBB serlah sikap kerajaan 'umum dulu, fikir kemudian' - MPT Bersatu

Iklan
Mohd Yadzil

SHAH ALAM - Kerajaan sekali lagi menunjukkan tadbir urus yang buruk dalam membuat keputusan apabila membatalkan cadangan untuk melaksanakan sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB), kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Mohd Yadzil berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akhirnya akur untuk membatalkan cadangan tersebut setelah diasak oleh petugas kesihatan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan sekali lagi menunjukkan ‘bad governance’ dalam membuat keputusan. Umum dulu, fikir kemudian.

Tangkap layar kenyataan Dr Dzulkefly pada Jumaat.

"Dah masuk tahun ketiga kerajaan campuran ini mentadbir Malaysia tapi masih ditakuk yang lama. Tidak kompeten," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Iklan

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan mengumumkan Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi petugas kesihatan dan memberi laluan kepada kajian lebih mendalam serta menyeluruh.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman yang bakal memberi tumpuan terhadap usaha pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Yadzil mempersoalkan kenapa kementerian baru hendak menubuhkan jawatankuasa khas itu yang sepatutnya dibuat lebih awal.

"Timbul persoalan besar. Dari siapa menteri dapatkan pandangan sebelum ini dan siapakah 10 orang pakar yang memberikan cadangan untuk pelaksanaan WBB?" soalnya.

Sehubungan itu, Mohd Yadzil mengingatkan KKM supaya menjalankan kajian yang lebih terperinci dan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan dalam sektor kesihatan sebelum membuat keputusan muktamad.

Tegasnya, terdapat banyak isu utama dalam sektor kesihatan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti sistem kesihatan negara.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua petugas kesihatan dan pihak terlibat, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Cuepacs yang bersatu dalam memperjuangkan nasib petugas kesihatan," ujarnya.

Sebelum ini, MMA menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan sistem WBB akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada, membebankan doktor dengan tugas berlebihan serta memberi kesan negatif kepada kualiti penjagaan pesakit.

Di bawah sistem baru ini, elaun 'on-call' pada hari bekerja tidak akan diberikan, dan syif malam akan dianggap sebagai waktu kerja biasa dalam tempoh 45 jam seminggu.