Peruntukan RM9 juta bantu pelajar seluruh Pahang tahun ini

Iklan
Wan Rosdy

LIPIS- Kerajaan negeri meneruskan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Tunas Makmur dengan memperuntukkan RM9 juta yang akan memberikan manfaat kepada 250,000 pelajar seluruh Pahang untuk sesi persekolahan tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insiatif tersebut mengandungi keperluan peralatan persekolahan bernilai RM100 seorang.

Iklan
Iklan

"Apa yang kita telah buat akan diteruskan dengan penambahbaikan di bawah jenama IM Pahang.

"Tahun ini kita peruntukkan sebanyak RM9 juta dan paling penting semua dapat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Moh Karnival Makmur Tahun 2024 Peringkat Daerah Lipis di Dataran Koyan, Sungai Koyan, di sini pada Sabtu.

Ujarnya, bantuan tersebut diberikan kepada semua murid Tahun 1 seluruh Pahang dan pelajar Tahun 2 hingga Tingkatan 5 dalam kategori miskin dan miskin tegar di negeri itu.

Iklan

"Untuk Darjah 1 tahun ini, ibu bapa tidak perlu beli barang kelengkapan sekolah. Semua kerajaan negeri sediakan bagi tujuan membantu pendidikan pelajar di Pahang.

"Tentu sahaja program bantuan IM Pahang Tunas Makmur untuk memastikan anak-anak ke sekolah dalam keadaan lengkap untuk belajar," tambahnya.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan meneruskan kerjasama dengan MBS Bookstore dengan memberikan Kad Diskaun Tunas Makmur sehingga 30 peratus untuk berbelanja di MBS Bookstore di seluruh negeri Pahang.

"Seperti tahun lepas untuk pelajar, pelajar IPT, guru dan pensyarah, semua kita beri kad diskaun 30 peratus, boleh guna di semua rangkaian kedai MBS World yang ada di semua daerah di Pahang," ujarnya.