SUNGAI SIPUT - Sejumlah RM144.6 juta lebihan pinjaman di bawah skim pinjaman khas Penduduk Kampung Baru Cina (PKBC) belum dipohon sejak peruntukan diluluskan dua tahun lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, rekod menunjukkan permohonan diterima hanya membabitkan kelulusan RM13.5 juta daripada keseluruhan peruntukan yang ditawarkan lebih RM150 juta.
Menurutnya, kebanyakan peminjam skim tersebut terlibat dalam sektor perdagangan borong, peruncitan dan pembuatan.
"Saya tidak berpuas hati dengan keadaan ini kerana kita tawarkan pinjaman lebih RM150 juta. Sedangkan banyak lagi sedang menunggu (lebihan peruntukan).
"Peluang untuk lulus permohonan pinjaman ini sangatlah tinggi, lebih baik berbanding RM120 juta ditawarkan loteri (judi)," katanya dalam sidang akhbar sempena program Sentuhan Kejayaan Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC) di Kampung Baru Rimba Panjang, di sini pada Sabtu.
Ujarnya, skim PKBC diperkenalkan bagi membantu penduduk Kampung Baru menjana semula ekonomi melalui aktiviti perniagaan selain bagi tujuan membayar premium pajakan tanah dan menaik taraf rumah.
Jelasnya, terdapat empat jenis skim pinjaman tersedia membabitkan jumlah pembiayaan antara RM3,000 hingga RM250,000 dengan kadar tetap tahunan sebanyak 2.25 peratus.
"Jadi saya minta kepada penduduk kampung baru, mohonlah kepada PKBC, pinjaman ini mudah lulus, tiada cengkeram (wang pendahuluan) dan dengan kadar faedah rendah," katanya.
Sementara itu, Kor Ming memaklumkan, sejumlah RM121.38 juta telah dibelanjakan KPKT bagi pembangunan 613 Kampung Baru Cina di seluruh negara tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 13.4 peratus berbanding RM107.07 juta pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, dalam tempoh sama, sebanyak 934 projek pembangunan berjaya disiapkan melibatkan peruntukan RM107.81 juta antaranya 631 projek kemudahan dan infrastruktur asas, 282 baik pulih rumah dan membina 21 rumah penduduk di bawah Program Rumah Madani Rakyat Kampung Baru.
"Tanggapan bahawa ramai orang Cina duduk di bandar itu tidak betul. Rekod menunjukkan lebih 70 peratus iaitu hampir lima juta populasi masyarakat Cina di negara ini sebenarnya tinggal di kawasan kampung-kampung," katanya.