Diskaun tol 50 peratus buah tangan kerajaan kepada pengguna lebuh raya

Iklan
Pengumuman diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena cuti Tahun Baharu Cina 2025 boleh dianggap sebagai buah tangan kerajaan kepada pengguna jalan raya. Gambar hiasan

PENGUMUMAN diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena cuti Tahun Baharu Cina 2025 boleh dianggap sebagai buah tangan kerajaan kepada pengguna jalan raya khususnya golongan yang meraikan perayaan tersebut.

Meskipun keputusan itu menuai pelbagai reaksi warga maya berikutan sebelum ini sering menikmati tol percuma tiap kali musim perayaan, ia sudah memadai daripada tiada langsung.

Iklan
Iklan

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pengurangan tol itu melibatkan semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) dan akan bermula jam 12.01 tengah malam pada 27 Januari (Isnin) serta berakhir jam 11.59 malam pada 28 Januari (Selasa).

Katanya, peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

Iklan

Langkah tersebut dibuat selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga kesejahteraan rakyat, didukung oleh kedudukan kewangan yang kukuh hasil program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.

Jelas beliau, pengurangan 50 peratus itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet pada Jumaat dan akan dilaksanakan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Iklan

Nampaknya kali terakhir pengguna lebuh raya menikmati tol percuma adalah ketika sambutan Hari Natal tahun lalu.

Bagaimanapun, kata Nanta, pemberian tol percuma mungkin boleh dilaksanakan sekiranya terdapat pertimbangan lain dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Bukan itu sahaja, tambahnya, pengguna lebuh raya diharap dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol sebaik mungkin dan merancang perjalanan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Justeru, sebelum bergerak ke kampung halaman masing-masing, pengguna disarankan memuat turun aplikasi MYPLUS-TTA di PLUS App untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau 'travel time advisory' (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan sewaktu memandu.

Apa pun, semoga keputusan yang dibuat mampu memuaskan hati ramai pihak lebih-lebih rakyat secara keseluruhan.