Rahmat Fitri ibarat adiwira perangi jenayah scammer

Iklan
Rahmat Fitri kini aktif menguruskan syarikat konsultan miliknya. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SEORANG scammer licik yang memperdayakan beberapa selebriti tempatan bagi mendapatkan darjah kebesaran dan gelaran 'Datuk' akhirnya diberkas selepas empat bulan diburu polis.

Modus operandi suspek ialah dengan menghubungi mangsa untuk menawarkan pingat dan darjah kebesaran yang tidak wujud dengan meminta bayaran tertentu.

Iklan
Iklan
Rahmat Fitri berkhidmat Selamat 21 tahun dalam pasukan PDRM.

Itu antara pengalaman yang masih segar dalam ingatan Rahmat Fitri Abdullah sepanjang 21 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengimbau kembali kes itu semasa bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Rahmat yang kini merupakan aktivis anti scam berkata, suspek lelaki yang menyamar dengan menggunakan gelaran Datuk itu menipu mangsa khususnya artis veteran dan menyebabkan kerugian mencecah ribuan ringgit sejak tahun 2007.

Iklan

Selain meminta bayaran bagi mendapatkan pingat kebesaran, suspek juga meminta mangsa membeli kira-kira tujuh telefon bimbit kononnya sebagai hadiah.

"Saya sahut cabarannya itu dan tangkapan dilakukan dengan menggunakan pelbagai kaedah,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Iklan

Menurut beliau, ketika siasatan dilakukan, seorang penyanyi popular tanah air memaklumkan bahawa scammer itu telah menghubungi seorang pelakon lelaki.

Rahmat Fitri. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Rahmat berkata, beliau kemudian segera berjumpa dengan pelakon lelaki tersebut di satu lokasi penggambaran di ibu kota untuk menerangkan modus operandi serta rancangan untuk memberkas suspek.

"Pelakon tersebut akhirnya berjaya 'memujuk' scammer itu untuk bersemuka di hadapan sebuah hotel di Kuala Lumpur. Suspek yang menyamar sebagai pemandu kepada seorang 'Datuk' berjaya diberkas setelah dia berjumpa dengan pelakon tersebut,” ujarnya.

Mengulas mengenai taktik scammer masa kini, Rahmat yang sebelum ini berpangkat Asisten Superintenden (ASP) berkata, sindiket penipuan bijak memanipulasi keadaan untuk memperdayakan mangsa.

"Beberapa taktik oleh sindiket penipuan dikesan menggunakan modus operandi seperti menghantar pautan mengandungi fail apk (android package kit).

"Mana-mana individu yang memuat turun fail berkenaan akan mengakibatkan telefon milik mereka digodam,” katanya.

Rahmat Fitri. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tambah beliau, sindiket penipuan juga akan menghantar pautan yang sekiranya ditekan akan membawa mangsa kepada laman sesawang perbankan palsu.

"Apabila perkara itu berlaku, ia akan menyebabkan mangsa secara tidak sengaja memberikan maklumat nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sindiket itu juga ada menghantar pautan yang jika ditekan akan memperdayakan mangsa untuk memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

"Tindakan itu akan mengakibatkan wang milik mangsa dipindahkan atau akaun media sosial mereka seperti WhatsApp serta Telegram digodam,” katanya.

Beliau berkata, scammer tidak boleh membuat tindakan lanjut jika hanya mengetahui sedikit maklumat mangsa seperti nama penuh mangsa.

"Orang ramai dinasihatkan jangan beri maklumat terperinci seperti nama pengguna (username), kata laluan (password), OTP (kata laluan sekali guna) dan TAC kepada individu yang tidak dikenali,” tegasnya.

Kerja di kantin

Mengimbau kembali kenangan masa lalu, Rahmati berkata, sebelum menjadi pegawai polis, beliau bekerja sampingan di kantin sekolah serta sebuah kedai runcit di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

"Saya pulang ke kampung untuk membuat kerja-kerja sampingan setelah tamat pengajian dalam Diploma Kewangan di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin atau kini dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu,” katanya.

Beliau juga pernah bercita-cita mahu menjadi seorang juruterbang atau pegawai bank, bagaimanapun impiannya tidak kesampaian.

"Ketika bekerja di kedai runcit, saya telah membaca iklan kerja sebagai anggota polis berpangkat Inspektor yang menawarkan gaji lebih RM1,000 dalam sebuah akhbar,” katanya.

Rahmat Fitri. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, setelah mendapat restu serta keizinan daripada ibunya, beliau kemudian mengisi borang tawaran pekerjaan tersebut.

"Saya mula berkhidmat dalam PDRM pada 1 November 2003 dan menjalani latihan selama setahun di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur sebelum ditempatkan di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beliau berkata, antara pengalaman lain yang tidak boleh dilupakan adalah memberkas dua suspek samun bersenjatakan pisau di sebuah kedai serbaneka 24 jam.

"Pada ketika itu, saya bersama seorang rakan setugas pergi ke kedai itu selepas meraikan kejayaan dalam membantu menyelesaikan kes culik remaja perempuan,” katanya.

Ketika kejadian, Rahmat bersama rakannya berada di dalam kereta ternampak dua lelaki berjaket hitam menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan telah masuk ke dalam kedai tersebut pada jam 3 pagi.

"Saya bersama rakan setugas kemudian segera masuk ke dalam kedai dan mendapati seorang pekerja kedai serta kedua-dua suspek berada di kaunter,” katanya.

Rahmat kemudian telah meminta kedua-dua penjenayah itu menyerah diri.

"Dalam masa yang sama, saya telah bersiap siaga jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, namun kedua-dua suspek itu akur lalu menyerah diri.

"Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai lebih tujuh rekod lampu atas pelbagai kesalahan serta rekod dikehendaki, manakala motosikal yang digunakan mereka pula dilaporkan dicuri,” katanya.

Rahmat berkata, beliau kemudian ditugaskan sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Petaling Jaya pada Disember 2005.

"Pada ketika itu, saya ditugaskan untuk menyiasat kes seperti tipu, pecah amanah, pemalsuan dan along,” ujarnya.

Rahmat Fitri memuat naik video berkaitan jenayah penipuan setiap hari.

Menurutnya, antara pengalaman tidak boleh dilupakan pada ketika itu adalah menumpaskan sindiket 'black money' yang didalangi warga Afrika.

"Pada ketika itu, saya mendapat panggilan memaklumkan scammer mahu berjumpa dengan mangsa di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

"Saya pula keluar bersama isteri terus pergi ke lokasi berkenaan, dalam masa sama rakan sepasukan telah diarahkan untuk memantau pergerakan individu warga Afrika di pusat beli-belah itu,” ujarnya.

Rahmat memberitahu, beliau bersama isterinya menyamar sebagai pelanggan di sebuah restoran makanan segera.

"Mangsa pula duduk di meja berhampiran dengan saya sebelum ahli sindiket 'black money' itu datang.

"Saya turut dimaklumkan seramai empat ahli sindiket berkenaan di kedai lain, salah seorang daripada mereka datang ke restoran makanan segera itu untuk bertemu mangsa sebelum kesemua suspek diberkas.

"Tangkapan itu sangat mudah, suspek memberi kerjasama dan siasatan mendapati salah seorang suspek pernah diberkas sebelum ini berkaitan kes penipuan lain,” ujarnya.

Rahmat Fitri masih menyimpan uniform PDRM miliknya. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tambah Rahmat, beliau kemudian ditugaskan sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Februari 2011 sebelum dinaikkan pangkat ASP dan dilantik menjadi Pegawai Penyiasat Jenayah Kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sejak April 2016.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam Diploma Eksekutif Sains Siasatan pada September 2017.

"Selepas tamat pengajian, saya menjadi ASP Risikan di Bahagian Risikan JSJK Bukit Aman pada April 2019 sebelum dilantik sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di IPD Sentul pada Januari 2021,” katanya.Beliau dilantik menjadi Duta Anti Scam PDRM pada 13 September 2022 kerana kebolehan dan kepakarannya dalam mengenal pasti dan membongkar aktiviti sindiket penipuan.

"Saya telah menyiasat lebih 800 kertas siasatan bagi kes-kes jenayah kekerasan dan jenayah komersial.

"Saya juga pernah terlibat dengan pelbagai operasi dalam menumpaskan penjenayah dalam kes-kes jenayah dan sindiket penipuan dalam talian serta memberkas lebih 200 penjenayah,” ujarnya.

Sebelum ni, pelbagai agensi telah memanggil Rahmat Fitri (empat dari kanan) untuk berkongsi ilmu pencegahan berkaitan jenayah penipuan dalam talian. FOTO : SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Rahmat turut mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia dan agensi kerajaan berkaitan mewujudkan subjek siber atau digital yang merangkumi topik jenayah siber di peringkat sekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

"Saya berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menteri berkaitan untuk berbincang serta berkongsi idea dan pandangan mengenai cadangan itu.

"Saya berharap dapat menyelamatkan rakyat daripada menjadi mangsa penipuan, selain membantu usaha kerajaan untuk menjadikan masyarakat yang bijak dan celik digital.

"Ia kerana ancaman jenayah penipuan secara dalam talian kini bergerak pantas selari dengan perubahan zaman teknologi,” tegasnya.

Visi Rahmat Fitri untuk terus menyampaikan ilmu dan menyelamatkan serta membantu masyarakat agar tidak menjadi mangsa scammer.

Beliau berpendapat, ilmu pendidikan tentang jenayah penipuan dalam talian harus didedahkan kepada para pelajar sebagai langkah pencegahan peringkat awal.

"Wajarlah asas ilmu anti penipuan dalam talian harus diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah lagi,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama erat Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi boleh mencegah kes penipuan dalam talian.

"Usaha melakukan pencegahan penipuan secara serius tidak cukup kalau hanya berdasarkan penyampaian kempen kesedaran dan peringatan tetapi dipraktikkan dengan tindakan kerjasama,” katanya.

Rahmat Fitri (dua kiri) bergambar bersama rakan setugas dalam satu majlis. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Rahmat mengakui beliau mengambil keputusan sukar untuk bersara awal daripada pasukan Sang Saka Biru pada 30 Jun tahun lalu.

"Seminggu bersedih setelah membuat keputusan. Saya sayang PDRM, namun keputusan bersara adalah mahu fokus dan membantu meningkatkan kesedaran serta mencegah rakyat daripada terpedaya dengan helah scammer,” ujarnya.

Rahmat berkata, beliau kini membuat rakaman atau siaran langsung di media sosial untuk berkongsi ilmu berkaitan jenayah penipuan setiap hari.

"Selain aktif dalam media sosial, saya kini kerap dijemput sebagai panel serta penceramah dalam pelbagai program televisyen dan radio,” ujarnya yang mempunyai platform TikTok yang aktif dengan seramai lebih satu juta pengikut.