JENIN - Ratusan penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di 'zon tempur' di Tebing Barat setelah rejim Zionis memperhebatkan kempen keganasan di wilayah tersebut.
Serbuan ganas dilancarkan di kawasan Jenin yang didakwa sebagai markas pejuang Palestin, beberapa hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa di Genting Gaza.
Rejim Zionis yang ternyata 'gila berperang' kini mengalihkan operasi ketenteraan mereka ke Tebing Barat setelah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan objektif operasi Tembok Besi itu kononnya untuk menghapuskan keganasan di kawasan berkenaan.
Pemimpin 'ekstremis' itu memberitahu operasi yang diperluaskan itu untuk mengekang bantuan Iran kepada proksi mereka di Gaza, Lubnan, Syria, Yemen dan Tebing Barat.
Tel Aviv sekali lagi menuduh Teheran menyokong gerakan dengan menyalurkan dan dan menghantar bekalan senjata kepada gerakan di bawah paksi penentangan anti-Israel di seluruh Asia Barat.
Operasi Tembok Besi sejak Selasa lalu telah meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa penduduk Palestin manakala lebih 40 yang lain cedera.
"Zionis sudah mengepung di hadapan rumah kami. Mereka boleh serbu masuk pada bila-bila masa,” kata penduduk Palestin, Salim Saadi.
Difahamkan, IDF turut menahan sejumlah penduduk Palestin dan insiden itu disahkan jurugambar AFP yang melihat sekumpulan lelaki dengan mata mereka ditutup dibawa keluar dari Tebing Barat.
Susulan keganasan yang semakin meningkat, Hamas yang mentadbir Genting Gaza menggesa kesemua gerakan dan tokoh komuniti di Tebing Barat supaya bangkit menentang pertumpahan darah yang tidak berkesudahan ke atas penduduk Palestin.
Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan serbuan ganas ke atas kem pelarian Jenin sejak pertengahan Disember lalu telah menyebabkan kira-kira 2,000 keluarga hilang tempat tinggal.
"Pencerobohan berskala besar mengakibatkan kawasan itu hampir tidak lagi berpenghuni dan ia menerima nasib sama seperti penduduk di Gaza.
"Kami tidak dapat dapat memberi perkhidmatan penuh kepada kem itu akibat keganasan yang turut dilakukan pelampau Yahudi,” kata Pengarah UNRWA, Roland Friedrich.
Menurut data Kementerian Kesihatan Palestin, siri serbuan ganas di Tebing Barat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 850 penduduk Palestin sejak lebih 15 bulan lalu ketika Perang Gaza meletus. - Agensi