PUTRAJAYA - Sebanyak sembilan daripada 243 sampel limau mandarin dilupuskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas didapati tidak mematuhi kadar maksimum residu racun perosak di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM 1985).
Menerusi kenyataan, KKM menegaskan setiap pengimport yang terlibat dalam pelanggaran tersebut akan dikenakan pemeriksaan tahap 5 iaitu tahan, uji dan lepas pada kemasukan seterusnya.
"Konsainan makanan akan ditahan bagi tujuan pensampelan dan kelulusan pelepasan hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisa mematuhi standard yang ditetapkan," katanya pada Jumaat.
Ia bagi memastikan semua limau mandarin yang memasuki negara ini mematuhi standard yang ditetapkan di bawah PPM 1985 dan Akta Makanan 1983.
"PKKM mengingatkan semua pengimport makanan bertanggungjawab untuk memastikan makanan yang diimport mematuhi PPM 1985.
"KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin, demi melindungi pengguna dan memastikan produk yang berada di pasaran adalah selamat untuk dimakan," katanya lagi.
Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan yang berlaku boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah, jabatan kesihatan negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem
Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) http://moh.spab.gov.my dan https://www.facebook.com/bkkmhq.