ALOR SETAR – Hasrat seorang pemuda untuk berbuka puasa bersama keluarga tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam kejadian di Lebuhraya Darul Aman di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 malam itu, mangsa, Muhamad Adam Aiman Abd Hamid, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 7.50 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di sektor perkhidmatan makanan dan minuman menunggang motosikal jenis Yamaha Xmax 250 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jitra untuk berbuka puasa.
“Setibanya di lokasi kejadian berhampiran lampu isyarat Sekolah Menengah Agama Darussaadah, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggang lalu terbabas dan melanggar pembahagi pejalan kaki di tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke unit forensik hospital sama untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Lokasi kejadian bukan merupakan kawasan 'blackspot'. Keadaan jalan adalah lurus dengan tiga lorong dan permukaan jalan rata ketika kejadian. Cuaca juga dilaporkan baik,.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian apabila mangsa menunggang dalam keadaan laju sehingga gagal mengawal kenderaan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.