SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan menjangkakan 790,000 kenderaan masuk ke negeri ini sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, berlakunya pertambahan sebanyak 339,000 dengan peratusan 75 peratus berbanding jumlah kenderaan pada hari biasa iaitu sebanyak 451,000.
"Dijangkakan pergerakan kenderaan yang masuk ke Negeri Sembilan akan bertambah terutama pada waktu puncak untuk masyarakat pulang ke kampung atau menuju ke destinasi tertentu.
"Bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini, Op Lancar sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 akan dilaksanakan selama 10 hari bermula pada 24 Januari sehingga 2 Februari ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, semua petugas telah diarahkan mempertingkatkan penguatkuasaan dan rondaan di 19 lokasi 'hotspot' iaitu laluan dijangka mengalami kesesakan lalu lintas dan tiga lokasi' 'blackspot' dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini.
Jelasnya, 19 lokasi 'hotspot' tersebut bagi daerah Seremban iaitu bulatan Bukit Chedang, lampu isyarat Dusun Nyiur, lampu isyarat Dato' Siamang Gagap, Jalan Rasah, lampu isyarat Seremban Gateway, Jalan Sungai Ujong dan Jalan Dato' Bandar Tunggal.
"Bagi daerah Port Dickson pula kilometer (KM) 10 -12 Jalan Pantai (Dataran Teluk Kemang), KM8 - 11 Jalan Seremban - Port Dickson (Pekan Lukut) dan lampu isyarat Sua Betong.
"Di daerah Tampin iaitu persimpangan Gemencheh - Batang Rokan, KM2 Jalan Tampin - Gemas dan di daerah Kuala Pilah pula ialah di Jalan Ulu Bendul -Terachi - Pekan Kuala Pilah," katanya.
Selain itu katanya, bagi daerah Jempol di KM0.5 - 1 Jalan Bahau - Rompin (lampu isyarat pasar borong hingga lampu isyarat simpang 3 jalan Bahau/ Mahsan) dan di derah Jelebu ialah di lampu isyarat Pekan Kuala Klawang (hadapan balai trafik).
Tambahnya, di daerah Rembau pula di Jalan Seremban - Tampin, Plaza Tol Pedas/ Linggi - Bulatan ILP Pedas manakala di daerah Nilai, di Jalan Persiaran Pusat Bandar (Dataran Nilai), Jalan Batang Benar dan Pekan Nilai.
Kata Ahmad Dzaffir, bagi tiga lokasi 'blackspot' ialah di Port Dickson, KM11 Jalan Seremban, Jelebu di KM19 - 22 Jalan Seremban - Simpang Pertang dan Kuala Pilah di Jalan Seremban - Kuala Pilah (KM28).
"Terdapat laluan alternatif boleh digunakan bagi mengelakkan terlibat kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi kedua-dua arah.
"Laluan alternatif ke arah selatan iaitu pergerakan dari arah LEKAS dan susur keluar Lebuhraya PLUS (S) dengan menggunakan laluan LEKAS - Jalan Persiaran Senawang 1 - Sg. Gadut - Jalan Seremban/ Tampin - Pedas - Pekan Rembau - Chengkau - Kota - lampu isyarat Kendong -Tol Simpang Ampat (PLUS).
"Tol Nilai (U) -Jalan BBN - Jalan Batang Benar - Tol Pajam - Paroi - Jalan Persiaran Senawang 1 - Sg. Gadut - Jalan Seremban/ Tampin - Pedas - Pekan Rembau - Chengkau - Kota - lampu isyarat Kendong - Tol Simpang Ampat PLUS.
"Tol Ainsdale (U)/Tol Seremban/ Labu (U)/Tol Seremban/ PD (U)/Tol Senawang (U)/Tol Pedas/ Linggi (U)-Lingkaran Tengah - Sg. Gadut - Jalan Seremban/ Tampin - Pedas - Pekan Rembau - Chengkau - Kota - lampu isyarat Kendong - Tol Simpang Ampat PLUS," ujarnya.
Selain itu katanya, laluan alternatif ke arah utara, pergerakan dari susur keluar Lebuhraya PLUS (S) ke LEKAS menggunakan Tol Pedas/Linggi - Pedas - Jalan Seremban/Tampin - Sg Gadut - Jalan Persiaran Senawang - Paroi - Tol Ampangan - LEKAS.
"Tol Senawang - Jalan Persiaran Senawang 1 Jalan Paroi Tol Ampangan - LEKAS, tol Seremban/ PD (S)/ Tol Seremban/ Labu (S) Lingkaran Tengah Jalan Jelebu - Tol Ampangan - LEKAS dan tol Ainsdale (S) Jalan Labu Lama - Pekan Nilai Jalan Semarak Jalan Batang Benar - Tol Pajam-LEKAS," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, Op Selamat 23 turut diadakan selama enam hari bermula 28 Januari sehingga 2 Februari dengan masih mengekalkan tema"Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi".
"Penugasan op selamat sempena Tahun Baharu Cina kali ini melibatkan seramai 257 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta aliran trafik terkawal dan juga bagi memastikan rumah-rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat," katanya.