RANAU - Treler terbabas di selekoh tajam dipercayai punca pemandu bersama kenderaan yang dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter dan menyebabkan mayatnya hanya berjaya dikeluarkan selepas kira-kira 30 jam.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati treler tersebut dari arah Kota Kinabalu menuju ke Sandakan.
"Ketika berada di Kilometer 30 Jalan Ranau-Telupid di kawasan selekoh tajam dan curam, treler telah terbabas ke bahu jalan lalu terjunam ke dalam gaung.
"Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit dan terperangkap di bawah timbunan muatan iaitu tiang konkrit dan tidak dapat dikeluarkan oleh pihak bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, mangsa hanya berjaya dikeluarkan pada Jumaat oleh pasukan bomba dengan bantuan kren.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Ranau untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian itu boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Syairul Azmi di talian 011-61569442 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau," katanya.
Ekoran kejadian itu, beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati semasa dalam pemanduan terutama ketika musim cuti sekolah dan perayaan.
"Polis Ranau tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya pemandu didapati melanggar peraturan jalan raya," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mayat pemandu treler hanya dapat dikeluarkan selepas kira-kira 30 jam tertimbus di bawah timbunan tiang simen selepas lori dipandu terjunam ke dalam gaung di Jalan Kampung Nabutan di sini.