JOHOR BAHRU - Cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyeludup masuk masuk 29,113 kilogram tongkeng ayam bernilai RM340,856 berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jumaat lalu.
Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) berjaya menahan sebuah lori yang berdaftar di Malaysia membawa muatan itu dari Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, sekitar jam 8 malam.
"Pihak berkuasa menemukan 2,241 kotak berisi tongkeng ayam yang cuba dibawa masuk tanpa permit import Maqis di laluan lori masuk.
"Produk makanan itu juga dibawa masuk tanpa dokumen sijil kesihatan veterinar dan sijil pengesahan halal," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Ujar beliau, seorang pemandu berusia 42 tahun turut ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama," katanya.