MAKLUM mengetahui bagi umat Islam, seorang isteri dilarang untuk keluar dari rumah tanpa mendapat keizinan daripada suaminya terlebih dahulu.
Bagaimanapun timbul persoalan apakah larangan tersebut begitu ketat atau apakah ada pengecualian dalam larangan itu? Apakah dibolehkan isteri keluar rumah untuk menyiasat suaminya yang mempunyai skandal?
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, haram untuk seorang isteri keluar dari rumah tanpa izin suaminya terlebih dahulu.
"Ini kerana dalam kitab-kitab fiqah ada menjelaskan kewajipan isteri untuk meminta izin suami sebelum keluar rumah melainkan ada lima masalah (yang menggugurkan kewajipan itu).
"Salah satunya ialah apabila isteri mahu keluar rumah untuk berjumpa dengan qadi, ahli keluarganya atau mahu menyiasat tentang kejahatan yang dilakukan suaminya, ia dibolehkan,” katanya dalam rakaman video di akaun YouTubenya baru-baru ini.
Jelasnya, sudah pasti suami tidak akan membenarkan seorang isteri keluar dari rumah semata-mata untuk menyiasat kejahatan yang dilakukannya di luar rumah.
"Maka dibolehkan (untuk tujuan tersebut),” katanya.
Begitu juga jika isteri dalam keadaan sakit dan berhajat untuk mendapatkan rawatan, diharuskan untuknya keluar rumah meskipun tanpa keizinan suami demi kemaslahatan dan kesihatannya, ujar Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam artikel Irsyad Hukum Siri ke-608: Hukum isteri keluar rumah tanpa izin suami kerana darurat ada menjelaskan, isteri perlu taat kepada suami dalam perkara yang makruf kerana suami telah diamanahkan ALLAH sebagai ketua keluarga.
"Namun begitu, Islam menetapkan bahawa ketaatan isteri kepada suami bukanlah kepada perkara yang dilarang ALLAH serta boleh menandingi ketaatan kepada ALLAH dan rasul-NYA.
Ujarnya, hal ini kerana terdapat bebepara perkara yang isteri tidak wajib mentaati suami seperti arahan melaksanakan perkara yang mendatangkan mudarat pada dirinya.
"Sebagai contoh isteri diajak bersetubuh dalam keadaan dia sedang sakit dan boleh menyebabkan mudarat kepadanya.
Selain itu katanya, isteri dibenarkan keluar rumah tanpa izin suami dalam beberapa keadaan seperti bimbang tentang diri dan hartanya daripada orang fasik atau pencuri.