Selangor lakar sejarah dalam pembangunan tenaga boleh baharu

Iklan
Amirudin (tiga dari kiri) melancarkan SHP Batang Kali pada Khamis.

HULU SELANGOR - Selangor melakar sejarah dalam pembangunan tenaga boleh baharu (TBB) menerusi perasmian Loji Hidrokuasa Kecil (SHP) Batang Kali.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek itu berjaya disiapkan setahun lebih awal daripada jadual ditetapkan dan selesai menjalani ujian penjanaan dan tersambung grid pada 23 Disember lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, SHP tersebut memiliki kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 5.1 megawatt (MW) yang dijangka memberi manfaat kepada 13,000 kediaman.

"Pelancaran SHP ini membuktikan kemampuan Selangor menerajui usaha menghasilkan penyelesaian tenaga lebih bersih dan hijau.

Iklan

"Penjanaan tenaga ini secara tidak langsung akan membantu untuk bekalan tenaga secukupnya kepada negara," katanya pada Majlis Pelancaran SHP Batang Kali di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim; Timbalan Pengerusi Worldwide Holdings Berhad, Datuk Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Iklan

Amirudin (dua dari kiri) mendengar taklimat pengoperasian SHP Batang Kali pada Khamis.

Katanya, kerajaan negeri akan terus mempergiatkan pembangunan tenaga boleh baharu lain dan bersedia bekerjasama dengan pihak lain termasuk sektor swasta bagi tujuan itu.

"Ada banyak lagi ruangan untuk digerakkan selain kita sedang meneroka beberapa kawasan lagi, jadi sudah tentu akan memerlukan kerjasama banyak pihak.

"Ini kerana negara memerlukan sumber dan simpanan tenaga yang mencukupi bagi menyokong pembangunan rancak," katanya.

Sementara itu, Norazlina berkata, penyiapan projek itu menjadikan Selangor kini memiliki dua SHP.

Ujar beliau, Worldwide Holdings pada 2015 telah mula meneroka sungai-sungai Selangor yang berpotensi untuk pembinaan SHP.

"Hasilnya kami telah berjaya mengenal pasti enam lokasi sungai yang boleh dijadikan projek hidro antaranya Sungai Kerling, Sungai Batang Kali, Sungai Inki, Lubuk Kawah dan Sungai Bernam.

"Sehingga kini dua projek telah beroperasi. Satu dijangka siap pada akhir tahun ini iaitu Sungai Kerling manakala dua lagi akan dimulakan pada tahun hadapan," katanya.

Ujarnya, sebagai syarikat konglomerat yang menumpukan sektor tenaga, Worldwide Holdings akan terus berusaha meningkatkan kapasiti TBB termasuk melalui hidro kecil, tenaga solar dan menerokai teknologi baharu seperti hidrogen.

"Ia selaras dengan sasaran negara untuk mewujudkan sebanyak 40 peratus dari sumber TBB menjelang 2035.

"Tidak ketinggalan turut dijalankan projek penjanaan kuasa dari sumber mampan atau sisa domestik seperti Waste to Energy (WTE) yang sedang dibangunkan," katanya.

Jelasnya, ia masih dalam fasa pembinaan dan dijangka akan menjana 90MW tenaga serta loji Janakuasa gas metana di Jeram dan Kuala Langat dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 12MW.