MTEM gesa tubuh suruhanjaya bebas pulih kedaulatan industri beras

Iklan
MTEM gesa tubuh suruhanjaya bebas pulih kedaulatan makanan negara. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menangani kemelut dalam industri padi beras negara yang tidak berkesudahan meskipun kerajaan sudah beberapa kali bertukar tangan.

Pengerusi MTEM, Norsyahrin Hamidon berkata, masalah sama tetap berbangkit seperti kegiatan monopoli oleh pengilang besar atau orang tengah, ketirisan pengagihan subsidi, rasuah serta ketidakcekapan pihak pengurusan dan kawal selia padi.

Iklan
Iklan

Jelasnya, suruhanjaya yang ditubuhkan itu perlu melibatkan pesawah, pengilang kecil, pemborong, ahli akademik dan teknologi, agensi berkaitan serta tokoh yang tiada kepentingan.

"Suruhanjaya ini juga perlu menangani persoalan berbangkit antaranya peningkatan kos penghasilan padi yang tidak seimbang dengan pendapatan pesawah di bawah paras kemiskinan tegar iaitu sekitar RM700 hingga RM1,200.

Iklan

"Termasuk juga cadangan harga beras baharu dan belian padi yang lebih adil, membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan serta gesaan supaya agensi sokongan padi beras tidak lagi disalahguna,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia tidak mengalami krisis bekalan beras dan ia masih mencukupi untuk keperluan rakyat di negara ini.

Iklan

Katanya, stok Beras Putih Import (BPI) sentiasa mencukupi dan pihaknya telah memastikan ketersediaan bekalan beras secara berterusan tanpa sebarang gangguan.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan sebelum ini Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) mencadangkan kerajaan mengimport beras putih dari Pakistan bagi menoktahkan kemelut berhubung harga dan bekalan beras putih di pasaran tempatan.

Dalam pada itu, Norsyahrin yang juga Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berpandangan, sasaran program kawasan bertanam seluas 150,000 hektar dan purata pengeluaran hasil tujuh metrik tan per hektar amat bagus.

Bagaimanapun jelasnya, ia kurang menyeluruh kerana mengetepikan kilang padi Melayu yang merupakan nadi penting kepada kelestarian komuniti pesawah.

"Oleh itu, MTEM desak kembalikan penglibatan pengilang beras bumiputera dengan mewujudkan kuota belian padi di setiap kilang.

"Usaha kekang monopoli dan sabotaj oleh kilang besar di samping menjamin pengeluaran benih berkualiti dan mencukupi mesti dipercepatkan, begitu juga ikhtiar menggunakan beras tempatan sebagai Stokpail Beras Negara demi mengurangkan import.

"Ikhtiar tingkatkan pendapatan 200,000 pesawah serta ahli keluarga mereka dengan sasaran RM4,000 hingga RM5,000 sebulan boleh dijayakan melalui pertanian bersepadu serta meneruskan program subsidi bersasar untuk tambah pendapatan,” ujarnya lagi.