DENGKIL - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar sebuah gudang di Beranang, Selangor yang dijadikan stor simpanan pelbagai jenis mercun dan bunga api secara haram bernilai lebih RM1 juta.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapa berkata, serbuan pada 14 Januari lalu dilakukan sepasukan Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Kastam Putrajaya hasil maklumat Cawangan Risikan.
Menurutnya, operasi ini menemui 1,330 kotak mengandungi 11 jenis mercun dan bunga api bernilai RM1,006,912 termasuk nilai cukai.
"Siasatan awal mendapati dagangan itu diimport melalui Pelabuhan Klang dan pengimport membuat pengikraran tidak benar di dalam Borang Kastam 1 (dokumen import).
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an telah ditahan untuk membantu siasatan.
Tambah Raizam, siasatan JKDM percaya mercun itu untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan.
"Ini merupakan kes terbesar rampasan mercun setakat ini dan siasatan masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian dan lain-lain elemen," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.