KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) mempersoalkan tentang kalangan 10 pakar klinikal yang diambil maklum balas dalam Jawatankuasa Penasihat dan Tindakan Perubatan (MAAC).
Gerakan itu menerusi hantaran di aplikasi X turut melontarkan pertanyaan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengapa ramai pihak yang menentang ‘Doktor untuk doktor’.
"YB @DrDzul; Dr Zulkefly. Sebagai pihak yang terkesan (pegawai perubatan), kami ingin bertanya, siapa 10 pakar klinikal dalam MAAC?
"MAAC dikatakan telah mendapatkan maklum balas daripada pegawai perubatan. Bila? Di mana? Berapa ramai?
"Doktor untuk doktor. Tetapi kenapa ramai yang tentang?” soalnya menerusi satu hantaran HDK di platform sosial X pada Selasa malam.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, cadangan waktu bekerja berlainan (WBB) bagi pegawai perubatan merupakan tambahan pilihan kepada sistem sedia ada, bukan untuk menggantikannya.
Jelasnya, WBB merupakan sistem syif baharu untuk petugas penjagaan kesihatan awam yang masih di peringkat cadangan.
Dalam sidang media khas mengenai isu WBB di Putrajaya, beliau turut menjelaskan sistem berkenaan dibangunkan oleh doktor untuk doktor di lapangan bagi sesetengah jabatan hospital.
Dr Dzulkefly berkata, sistem itu dibangunkan setelah mengambil kira pelbagai input daripada pihak berkepentingan di pelbagai peringkat dan keputusan dibuat setelah mendapati wujudnya keperluan segera untuk menambah baik sistem aturan kerja sedia ada.
Sebelum itu, HDK menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik WBB serta-merta, dengan dakwaan ia dibangunkan tanpa penglibatan pihak berkepentingan utama.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan WBB yang didakwa akan memburukkan lagi masalah kekurangan tenaga kerja sedia ada, serta menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan, selain menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
Dzulkefly bagaimanapun menjelaskan pelaksanaan sesebuah projek rintis seperti WBB hanya boleh dimulakan setelah diluluskan oleh Menteri Kesihatan dengan persetujuan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.