DMA kecam tindakan keji terhadap pesakit mental

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung insiden kes pukul lelaki OKU di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu pada pagi Jumaat lepas. Gambar kecil: Sollahuddin

KOTA BHARU - Dewan Muda Alternatif (DMA) mengecam sekeras-kerasnya tindakan keji berbentuk fizikal terhadap individu yang menghadapi cabaran kesihatan mental.

Penyelaras Program Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri, DMA, Sollahuddin Ikram berkata, kejadian baru-baru ini melibatkan seorang individu orang kurang upaya (OKU) yang dianiaya secara kasar dan tidak berperikemanusiaan di sebuah pasar tani harus menjadi peringatan penting kepada semua.

Iklan
Iklan

"Setiap individu berhak dilayan dengan hormat dan empati tanpa mengira kaum, agama, mahupun keadaan fizikal atau mental mereka.

"Perhatian, sokongan, dan empati daripada keluarga, rakan, serta komuniti boleh memberikan impak yang besar kepada individu yang berdepan masalah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, pemahaman yang lebih mendalam mengenai kesihatan mental dapat mengurangkan stigma dan melahirkan suasana lebih inklusif, di mana mereka yang terkesan tidak merasa terasing atau terabai.

Ujarnya, usaha pembelajaran dan kesedaran ini mesti digalakkan supaya masyarakat dapat bertindak dengan lebih bijak, prihatin, dan bertanggungjawab.

Iklan

Sollahuddin memberitahu, DMA menyeru masyarakat agar menghayati nilai toleransi dan empati sebagai asas hubungan sosial.

"Peranan kita bersama adalah untuk memupuk kesedaran, menghapuskan stigma, dan menyediakan sokongan yang konsisten kepada mereka yang memerlukan, baik dari segi fizikal mahupun emosi.

"Dalam masa yang sama, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kekerasan supaya keadilan ditegakkan dan kejadian seperti ini tidak berulang," katanya.

Beliau memberitahu, dengan komitmen semua pihak, orang ramai mampu membentuk sebuah masyarakat yang inklusif, harmoni, dan bebas daripada sebarang bentuk kekasaran.