GUA MUSANG - Seorang pekerja ladang maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai dirempuh trak pikap jenis Toyota Hilux semasa mahu mengelak lubang dan jalan mendap di Jalan Felda Aring 5, Sungai Relai di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu lelaki yang berusia 30 tahun sedang menunggang motosikal dari rumahnya di Paloh 1 menghala ke arah Ladang Liquid Palm Grower 3.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati semasa di lokasi kejadian pekerja ladang terbabit telah masuk ke laluan bertentangan untuk mengelak lubang dan jalan mendap di lorong laluan sahnya.
"Kemudian, mangsa dipercayai telah bertembung dengan sebuah trak pikap di laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-9121222," katanya.