SHAH ALAM - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Laut Perancis (TLP) melakar sejarah apabila menjalinkan kerjasama melibatkan pelbagai aset laut milik ketumbukan kedua-dua negara menerusi Eksesais LA Perouse 2025.
Latihan ini merupakan kerjasama bilateral pertama melibatkan aset TLDM dan TLP selepas kali terakhir dijalankan pada tahun 2021 melalui Passage Exercise (PASSEX) di Selat Melaka.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat memaklumkan eksesais yang berkonsep 'Field Training Exercise' (FTX) ini mengambil peluang kehadiran kapal TLP ke perairan Selat Melaka untuk mempromosikan kerjasama Indo-Pasifik bersama negara-negara ASEAN dengan fokus kepada keselamatan maritim di rantau ini.
Menurut kenyataan itu, eksesais terbabit bertujuan meningkatkan keterlibatan dan kesaling operasian maritim serta dapat menangani cabaran maritim bersama demi keselamatan maritim serantau serta memperkukuhkan hubungan kerjasama antara TLDM dan TLP.
"Eksesais ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan bermula dari 13 hingga 15 Januari 2025 di Pulau Pinang yang merangkumi perbincangan operasi, lawatan kapal, interaksi sukan dan majlis resepsi rasmi.
"Untuk kategori fasa laut, bermula dari 16 hingga 18 Januari 2025 di perairan Selat Melaka yang melibatkan latihan peperangan permukaan dan udara, serta Photo Exercise (PHOTEX)," katanya pada Isnin.
Tambahnya, eksesais ini turut melibatkan aset TLDM antaranya KD Lekir, KD Gagah Samudera, Fast Combat Boat TLDM dan dua pesawat pejuang F/A 18D dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala aset TLP melibatkan FS Forbin dan pesawat AS565 Panther.
Jelasnya, latihan ini memberi tumpuan aspek peperangan permukaan dan udara untuk memperkasakan kemampuan teknikal dan operasi kedua-dua angkatan laut.
"Sepanjang fasa laut, pelbagai siri latihan seperti Simulated Local Air Defense Exercise (SIMADEX), Air Defense Exercise (ADEX), Surface Firing Exercise (SURFEX), Advance Interdiction and Boarding Exercise (BOARDEX) serta Photo Exercise (PHOTEX) telah dilaksanakan.
"Latihan ini turut memperkukuhkan kesiapsiagaan aset dan kompetensi anggota TLDM dalam menghadapi senario maritim yang kompleks," katanya.
Menurutnya, eksesais ini menunjukkan komitmen kedua negara dalam meningkatkan keupayaan dan kesediaan operasi melalui pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik serta membina keyakinan dan memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis.
"Selain itu, pelaksanaan Eksesais LA Perouse 2025 di Pulau Pinang ini menjadi platform persediaan penting bagi TLDM yang dijadual menganjurkan ASEAN Navy Chief's Meeting (ANCM), ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX) dan ASEAN Fleet Review pada Ogos akan datang.
"TLDM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kesudian menjadikan negeri ini sebagai lokasi utama eksesais ini.
"Kerjasama seperti ini amat penting dalam memastikan keselamatan dan kestabilan maritim terus terjamin selain memperkukuhkan diplomasi pertahanan Malaysia sebagai rakan kongsi berwibawa di peringkat antarabangsa," katanya.