Ibu tunggal dakwa anak didera guru pra sekolah

Iklan
Aiza Salzul Hanira menunjukkan kesan lebam di tapak tangan anaknya didakwa kesan cubitan. Antara kesan kecederaan yang dialami anak Aiza Salzul Hanira dibadan didakwa didera guru.

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami kecederaan termasuk luka dan lebam didakwa didera guru di sebuah sekolah di Jelapang.

Ibu mangsa, Aiza Salzul Hanira Zulkapli, 42, kejadian berlaku sejak September lalu melibatkan seorang guru wanita berusia lingkungan 30-an semasa anaknya mengikuti pendidikan pra di sekolah tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu disedari selepas anak tunggalnya mula menunjukkan perubahan emosi, murung selain tidak mahu ke sekolah.

"Pada mulanya saya menyangka ia perkara biasa tetapi mula sangsi selepas ternampak kesan merah di telinga anak.

Iklan

"Apabila ditanya, anak maklumkan seorang cikgu wanita di sekolah menarik dan memulas telinga.

Aiza Salzul menunjukkan laporan polis dibuat berhubung kes penderaan membabitkan anaknya di sebuah sekolah di Jelapang.

"Tidak cukup dengan itu, ada juga luka dan lebam di beberapa anggota badan kesan dicubit," katanya dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Gerakan Perak, Chek Kwong Weng di sini pada Isnin.

Iklan

Ibu tunggal itu berkata, perbuatan kasar guru terbabit berlarutan sehingga Disember lalu dan paling tidak boleh diterima apabila anaknya mengadu dirotan, ditampar dan diketuk di kepala hampir setiap hari.

Katanya, perkara berkenaan sudah dibawa ke pengetahuan pihak sekolah, namun alasan diberikan anaknya tidak tahu mengeja dan tidak menyiapkan kerja sekolah.

Kecewa dengan alasan itu, dia membuat aduan dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) dan maklum balas diberikan bahawa kejadian tidak melibatkan sebarang sentuhan fizikal menyebabkan tiada tindakan diambil terhadap guru tersebut.

Aiza Salzul Hanira bersama Kwong Weng (kiri) dalam sidang akhbar pada Isnin.

"Bulan lalu, anak saya sekali lagi mengalami lebam teruk di kedua-dua tapak tangan kesan cubitan kuat.

"Saya terpaksa membawanya menerima rawatan di hospital dan doktor maklumkan kesan cubitan mendatangkan kecederaan pada tisu lembut," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, tiga laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut agar siasatan lanjut dapat dilakukan ke atas guru berkenaan.

Dia nekad membuat pendedahan perkara itu kepada umum kerana tidak mahu perkara sama berlaku kepada anak murid yang lain.

"Dalam kes ini saya ada ambil video dan bahan bukti semua kecederaan anak saya.

"Saya nak masyarakat tahu bahawa penderaan di sekolah ini memang wujud.

"Kesannya bukan sedikit, membawa kepada gangguan emosi yang berpanjangan seperti anak saya sekarang, walaupun telah bertukar sekolah, dia masih ketakutan dan fobia untuk hadir ke kelas," katanya.

Sementara itu, Kwong Weng berharap semua pihak dapat memainkan peranan menangani kes seumpama itu kerana melibatkan masa depan dan pendidikan anak-anak.

"Saya harap kes ini dapat perhatian dan dikendalikan dengan sebaiknya. Siapa juga yang bersalah wajar diambil tindakan," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi memaklumkan akan menyemak semula laporan dibuat wanita berkenaan.