DUNGUN - Siapa sangka seorang kanak-kanak yang dahulunya periang dan suka berkawan berubah sekelip mata setelah disahkan menghidap penyakit radang otak.
Keadaan menimpa Muhammad Aish Daniel Mohd Faizal, 7, lebih meruntun jiwa apabila video dia terpaksa didukung bapanya ke pentas untuk menerima sijil sempena majlis anugerah prestasi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Mukmin di sini pada Sabtu lalu tular di media sosial.
Bapanya, Mohd Faizal Mohd Kanafi, 42, berkata, pengalaman mendukung anaknya ke pentas tidak dapat dilupakan memandangkan Muhammad Aish atau lebih mesra digelar Aish kini terlantar dan tidak mampu berjalan sendiri.
"Perasaan waktu dukung dia tu bercampur baur. Rasa sedih dan sayu kerana hari tersebut merupakan antara kenangan terakhir alam persekolahan Aish.
"Namun dalam masa sama saya rasa terharu kerana sepanjang tempoh itu Aish nampak bersemangat lebih-lebih lagi apabila ibunya, Siti Norazilla Zainal, 39, turut mengiringi dia ke pentas.
"Biasanya selepas dimandikan sebelah pagi dia akan tidur, berbeza pula pada hari itu, sejak pagi dia tidak tidur. Aish berjaga sampai habis majlis," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Bapa kepada tiga anak yang bekerja sebagai pembantu tukang rumah dan peniaga pasar malam itu berkata, anaknya itu tidak dapat berjalan dan bercakap sejak September tahun lalu.
"Saya dan isteri perasan perubahan dia sejak Mei tahun lalu, waktu tu dia sering rebah dan tidak boleh, bila bangun saya dia asyik terjatuh dan tidak boleh berdiri.
"Aish masuk Pasti ini sejak usia empat tahun. Waktu umur enam tahun tu, dia sempat belajar dua bulan sahaja sebab keadaan dia bertambah buruk dan tidak boleh fokus pada pelajaran.
"Saya beritahu kepada pihak pengurusan Pasti mahu berhentikan dahulu dia untuk rawatan. Saya ingat ada harapan untuk dia sembuh, malangnya semakin hari makin teruk," luah Mohd Faizal.
Sementara itu, Siti Norazilla berkata, anaknya itu dilahirkan normal namun kesihatannya merudum sejak Mei tahun lalu.
"Saya kini menjaga dia sepenuh masa kerana suami bekerja. Aish pernah diserang sawan ketika tidur pada Ogos lalu. Selepas jalani pelbagai rawatan barulah dia disahkan menghidap radang otak.
"Saya dan suami ambil masa untuk terima perubahan Aish, kami juga buat macam-macam ikhtiar termasuk berubat kampung, namun belum ada rezeki untuk Aish sembuh.
"Kami masih menaruh harapan agar Aish kembali sembuh seterusnya berjaya mencapai cita-cita untuk menjadi seorang bomba," ujarnya.
Mereka yang ingin meringankan bebanan keluarga ini boleh menghubungi Mohd Faizal Mohd Kanafi di talian 016-5989882.