PETALING JAYA - Halal Development Corporation Berhad (HDC) menyasarkan sebanyak 2,443 pengeksport halal Malaysia bagi tahun 2025 berbanding 1,600 pengeksport setakat Disember 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, selaku agensi pusat yang memajukan ekosistem halal di Malaysia, pihaknya akan meneruskan usaha mengenal pasti dan membantu syarikat tempatan yang berpotensi dalam segmen halal.
Beliau memaklumkan, setakat ini terdapat kira-kira 200,000 syarikat tempatan terlibat dalam aktiviti perniagaan berkaitan halal.
"Namun hanya 9,162 syarikat sahaja daripada pelbagai segmen yang mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Daripada jumlah tersebut sebanyak 1,600 syarikat pengeksport halal yang mempunyai sijil daripada Jakim dan ia disifatkan masih rendah berbanding permintaan pasaran halal global yang kini bernilai lebih AS$3 trilion," katanya dalam Majlis Taklimat Media Strategi Pacu Ekonomi Halal Malaysia Bersama Media di One World Hotel, Petaling Jaya pada Khamis.
Mengulas lanjut, menurut Hairol Ariffein, syarikat Malaysia berdepan cabaran menjadi pengeksport halal disebabkan ketiadaan pengurusan yang berperanan membangunkan rangka kerja operasi selain keupayaan mengenal pasti pasaran.
Tambah beliau, HDC akan memberi tumpuan kepada kecemerlangan inovasi halal sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 yang antara lain menggariskan inisiatif strategik bagi meningkatkan pertumbuhan dan daya saing sektor halal.
"HIMP 2030 menekankan kepentingan mempromosikan enam sektor halal utama termasuk makanan, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal, peranti perubatan, pelancongan dan fesyen muslimah untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan ekonomi halal Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, tambah Hairol Ariffein, HDC turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memupuk syarikat halal tempatan menjadi juara halal dengan meningkatkan kapasiti mereka.
"Halal Knowledge Centre (HKC) salah satu inisiatif HDC yang dilengkapi keupayaan analisis data, berfungsi sebagai sumber maklumat dipercayai untuk media, pemain industri halal, komuniti pendidikan dan orang awam.
"Berikutnya, dengan lebih 13,000 ahli dari dalam dan luar negara, Halal Integrated Platform (HIP) yang diperkenalkan pada tahun 2020 merupakan platform rangkaian digital pertama di dunia yang dikhususkan untuk industri halal, direka untuk membuka peluang dan memupuk kerjasama dalam kalangan pemegang taruh.
"Kedua-dua platform tersebut adalah penting untuk membina ekonomi halal yang kukuh bagi memenuhi permintaan tempatan dan global,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun berkata, peluang selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu anggota blok membangunkan ekosistem halal serta meningkatkan perdagangan dua hala.
Tambah beliau, HDC juga fokus untuk mengukuh dan memperluas pasaran domestik halal dengan membantu usahawan dan syarikat tempatan supaya berdaya saing bukan sahaja dalam negara tetapi juga mampu membawa produk negara ke rantaian bekalan halal global.
"Dalam ASEAN misalnya, kita mempunyai lebih daripada 650 juta penduduk. Oleh itu, penting bagi kita untuk merebut peluang ini agar 10 negara anggota ASEAN ini boleh memanfaatkan ekonomi halal.
"Jangan pula nanti ada negara lain di luar ASEAN yang meraih keuntungan berlipat kali ganda daripada pasaran halal," katanya.
Untuk rekod sehingga Disember 2024, indikator makroekonomi bagi industri halal menunjukkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM146.6 bilion, mewakili 7.7 peratus dan mencapai 97.2 peratus daripada sasaran untuk tahun lalu.
Nilai eksport mencapai RM61.2 bilion, iaitu 98.4 peratus daripada sasaran manakala, pelaburan terkumpul dalam taman industri halal berjumlah RM16.7 bilion, mencapai 92.3 peratus daripada matlamat.