PAPAR - Pelaksanaan tiga projek utama melibatkan pembangunan di Papar bukan saja merangsang sektor pelancongan di daerah itu tetapi juga menjadikannya sebagai hab pelancongan baharu bagi negeri Sabah.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembangunan berterusan di daerah itu ditambah dengan pertumbuhan jumlah penduduk dan lokasinya yang berhampiran dengan ibu negeri dijangka akan merangsang sektor pelancongan di negeri ini.
Malah beliau yakin, pembangunan sektor pelancongan di Papar juga sekali gus akan membawa limpahan ekonomi dan juga memberi kesan kepada penduduk setempat di kawasan parlimen tersebut.
"Setakat ini, kita mempunyai tiga projek utama termasuk Kinarut Palm City dan pada 25 Januari ini, Ketua Menteri akan turun pada majlis pecah tanah Kompleks Kebudayaan Sabah juga di Kinarut.
"Jadi ini antara tiga projek besar yang akan kita lihat boleh membantu untuk merangsang aktiviti pelancongan di kawasan papar dan saya berharap hasrat kita untuk jangka masa panjang dapat merealisasikan daerah ini sebagai sebuah hab pelancongan baharu yang menarik di negeri Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Kinarut Palm City, di Kinarut, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, beliau akan bekerjasama dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah parlimennya dan pejabat daerah Papar bagi mengenal pasti produk hasilan desa untuk diketengahkan sebagai tarikan pelancong di daerah itu.
"Apa yang penting sekarang, saya akan bekerjasama ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim serta pejabat daerah untuk mengenal pasti produk-produk pelancongan desa sebagai aktiviti tambahan kepada pelancong yang menginap di resort atau hotel di daerah ini.
"Jadi kita mahu ada satu ekosistem yang holistik pelancong pergi ke papar dan pelbagai produk lain juga akan dapat dibangunkan.
"Saya harap pemaju kalau boleh wujudkan satu pusat sehenti yang pelancong boleh datang untuk membeli cenderamata yang dihasilkan oleh penduduk masyarakat di Papar," katanya.
Bagaimanapun, Armizan dalam pada itu meminta pemaju yang menjalankan projek di kawasan itu tidak mengabaikan keperluan infrastruktur untuk rakyat Papar.
"Pastikan akses jalan raya, sistem perparitan dan saliran diberi perhatian. Kita tidak maHu ada kesan sampingan kepada penduduk dan kita mahu semuanya mendapat impak yang positif hasil daripada sesuatu pembangunan ini," katanya.