SELAYANG - Kejadian orang kurang upaya (OKU) dipukul di tapak jualan pasar tani di Chukai Kemaman, Terengganu pada Jumaat harus dijadikan iktibar dan teladan.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, selaku Exco yang menjaga portfolio kebajikan, beliau terpanggil untuk mengulas isu berkenaan.
Menurutnya, semua manusia di muka bumi tidak kira orang normal, OKU, susah mahu pun senang berhak mendapat layanan penuh rahmah dan kasih sayang.
"Dia mungkin seorang anak bagi seorang ibu, atau bapa kepada seorang anak dan juga ahli keluarga kepada yang lain
Dalam kejadian Jumaat, seorang OKU dipukul selepas motosikal ditungganginya dikatakan melanggar sebuah gerai jualan di pasar tani berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.
Pelanggaran menyebabkan barangan jualan seorang peniaga tumpah dan terjatuh sebelum mangsa dipukul beberapa lelaki sehingga cedera.
Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Kemaman telah menahan tiga individu berusia 18 hingga 60 tahun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Ujar beliau, layanan sama rata sesama manusia ditekankan dalam Islam dan boleh dirujuk menerusi surah Abasa bermaksud 'Ia bermasam muka'.
"Nabi Muhammad SAW ditegur ALLAH SWT dalam surah Abasa yang Rasulullah SAW bukan bertempik ataupun memukul tetapi hanya kerana berpaling muka dan bermasam muka kepada lelaki OKU buta.
"Lalu ia ditegur dan diturunkan satu surah (Abasa) khusus kerana berpaling muka dan masam wajahnya.
"Teguran berkenaan harus dijadikan iktibar dan kita perlu menginsafi kejadian menimpa OKU (dipukul) itu dengan bersifat rahmah sesama manusia," katanya.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri akan meneruskan khidmat bakti mentadbir negeri dengan memulangkan manfaat kepada rakyat.