KUALA LUMPUR - Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) mencatat sejarah penting dengan kelahiran graduan pertama dari program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Majlis Konvokesyen UCMI Kali ke-15.
Seramai enam orang graduan yang diraikan terdiri daripada empat pelajar tempatan dan dua pelajar antarabanga menerima ijazah sarjana, menjadi kumpulan pertama pascasiswazah institusi itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, program MBA yang ditawarkan di UCMI mencerminkan komitmen dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan relevan mengikut keperluan pasaran global.
"Sejarah ini bukan sahaja menjadi kebanggaan UCMI tetapi turut membuktikan institusi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus berkembang dalam melahirkan graduan berkelayakan tinggi dan berkemahiran.
"Graduan juga berpeluang bersaing sesama mereka di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen UCMI ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.
Pada majlis berkenaan, seramai 1,094 graduan daripada pelbagai bidang pengajian di peringkat pascasiswazah, profesional, prasiswazah dan asasi telah diraikan termasuklah 27 graduan daripada Pusat Perundingan Profesional dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PROCELL).
Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Canselor UCMI, Tan Sri Azman Hashim; Pro-Canselor UCMI, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor UCMI, Datuk Profesor Dr Noor Inayah Ya’akub.
Tambah Mohd Na’im, sebanyak RM25 juta telah disalurkan oleh Baitulmal MAIWP kepada pelajar yang layak termasuk bantuan elaun sara diri, yuran pengajian asasi dan biasiswa.
Menerusi bantuan tersebut, dapat membantu terutama anak-anak asnaf mendapat pendidikan sekali gus keluar daripada kitaran kemiskinan dan menjadi penyumbang kepada masyarakat.
Sementara itu, Noor Inayah memaklumkan, UCMI akan menawarkan program baharu dan pertama di Malaysia dengan membangunkan Ijazah Sarjana Muda dalam Industri Kanak-Kanak (Bachelor in Children’s Industry).
Katanya, UCMI juga telah berjaya menubuhkan Centre for Children’s Industry and Livelihood (CCIL) dalam meneroka dan memajukan industri melibatkan kanak-kanak.
"Dengan kemunculan gen beta yang merujuk generasi kanak-kanak bermula tahun 2025 hingga 2040 mendorong UCMI membangunkan program Ijazah Sarjana Muda dalam Industri Kanak-Kanak,” ujarnya.