JUARA boling Piala Dunia diharapkan tidak 'duduk diam' dan berasa selesa dengan gelaran tersebut kerana perjalanan mereka dalam sukan itu masih panjang dan mencabar.
Legenda boling negara, Datuk Shalin Zulkifli juga mahu mereka terus berusaha lebih gigih dan konsisten dalam permainan bagi memastikan sentiasa berada pada prestasi optimum.
Kem boling kebangsaan membanggakan negara apabila mengungguli acara perseorangan wanita dan berpasukan lelaki pada Kejohanan Boling Piala Dunia di Hong Kong baru-baru ini.
"Jangan leka dan bekerja lebih keras. Pemain lawan sudah pasti mahu mengalahkan mereka pada kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pemain wanita negara, Natasha Mohamed meraih pingat emas setelah menewaskan wakil Jerman, Birgit Noreiks 217-166, 226-169 pada aksi final.
Gelaran itu juga menamatkan kemarau 53 tahun negara tanpa kejuaraan individu wanita sejak kejohanan tersebut diperkenalkan pada 1972.
Kejayaan berpasukan lelaki pula hadir selepas Malaysia yang dibarisi Muhd Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol menewaskan Puerto Rico 3-2 di pentas akhir.
Shalin berkata, bagi mengekalkan konsistensi dalam permainan mereka juga perlu menyertai pelbagai kejohanan besar termasuk sirkit Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA).
"Biarpun kejohanan itu tidak mewakili negara dan berupa pertandingan individu, namun ia mampu membantu mewujudkan suasana saingan kompetitif buat pemain,” katanya.
Musim ini skuad boling negara bakal mengharungi Sukan SEA Thailand dan Kejuaraan Dunia pada penghujung Disember.