KANGAR - Kastam Unit Marin Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 89 ketulan mampat ganja bernilai RM275,900 ke negara ini pada 6 Januari lalu.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, sindiket berkenaan didapati meninggalkan empat bungkusan guni berisi ketulan mampat dadah disyaki ganja seberat 89.48 kilogram dalam kawasan hutan paya bakau di perairan Bukit Putih.
Katanya, bungkusan itu ditemui di atas akar pokok bakau dan dipercayai akan dipungut oleh seseorang pada waktu tertentu.
"Taktik itu bagaimanapun dipatahkan anggota Kastam Unit Marin Kuala Perlis dalam pemeriksaan di perairan Bukit Putih pada 6 Januari lalu,” katanya ketika sidang media di sini pada Jumaat.
Menurutnya, lokasi terbabit terletak kira-kira 300 meter dari sempadan negara jiran.
"Dalam kes ini kita tidak tunggu lama, sebab kawasan tersebut memang kawasan hitam jadi kita tunggu dalam setengah jam saja,” katanya.
Menurutnya, ganja itu dipercayai untuk pasaran di utara dan sekitar Lembah Klang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.