PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) bersedia untuk membantu jemaah umrah yang terkandas berikutan sebuah syarikat pengendali umrah menunda penerbangan mereka ke Tanah Suci Makkah.
Penasihat Undang-Undang yang mewakili jemaah, Ena Awil berkata, keputusan itu dicapai hasil pertemuan dengan Timbalan Ketua Setiusaha (kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusof di kementerian itu pada Jumaat.
Menurutnya, pihak MOTAC bersedia bertemu lima orang wakil dari kalangan jemaah bagi membincangkan isu berkenaan dengan lebih lanjut.
"Buat masa ini juga MOTAC positif untuk membantu jemaah yang terkesan akibat kegagalan syarikat pengendali umrah terbabit menerbangkan mereka ke Tanah Suci.
"Kita akan hantar memorandum dan dalam memorandum itu nanti akan ada cadangan supaya MOTAC dapat bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain termasuk Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang boleh membantu bagi menangani isu jemaah umrah terkandas seperti ini,” katanya pada sidang akhbar di MOTAC pada Jumaat.
Terdahulu kira-kira 200 jemaah hadir di MOTAC bagi mengikuti perkembangan terkini berkenaan isu membabitkan syarikat pengendali umrah berkenaan.
Jelasnya lagi, pihaknya juga akan bertemu sekali lagi dengan pengurusan tertinggi syarikat pengendali umrah itu selepas mereka dibebaskan daripada tahanan reman pada Sabtu.
"Semua jemaah umrah buat masa ini diminta untuk mengisi dan menandatangani notis waran untuk bertindak bagi mengesahkan bahawa kami akan mewakili mereka bagi menyelesaikan isu ini
"Jadi saya minta jemaah yang menerima makluman sama ada melalui panggilan telefon atau WhatApss dari syarikat pengendali umrah mengenai pembatalan penerbangan mereka agar membuat laporan polis dalam kadar segera,” ujarnya
Malah beliau yang hadir mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkata, satu prosedur operasi standard (SOP) mengenai isu itu akan diterbitkan MOTAC sebagai rujukan.
Tambahnya, garis panduan berkenaan itu nanti boleh diguna pakai oleh mana-mana jemaah umrah kerana sebahagian besar tiada pengalaman dan tidak tahu apa langkah perlu dilakukan jika menghadapi situasi berkenaan,
Sebelum ini jemaah umrah yang terkandas berkampung di pejabat pengendali umrah berkenaan di Kota Warisan, Sepang selama 30 jam bagi menuntut semula wang yang telah dibayar.
Lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat pengendali umrah itu direman selama tiga hari berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perintah reman terhadap mereka termasuk dua wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun itu bermula hari ini hingga Sabtu.
Setakat ini sebanyak lapan laporan polis yang dibuat oleh mangsa telah diterima dan kita menganggarkan jumlah semua mangsa adalah seramai 379 orang.
Hasilnya seramai 20 orang telah dibayar manakala selebihnya masih menanti bayaran balik dibuat berikutan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan.
Terbaharu jumlah jemaah umrah yang terkandas melibatkan syarikat pengendali umrah berkenaan meningkat kepada kira-kira 600 orang berbanding 300 orang sebelum ini melibatkan kerugian RM2.3 juta.