TANGGAL 8 Disember lalu, dunia dikejutkan dengan penggulingan pemerintah Syria yang diketuai Presiden Bashar Al-Assad selepas kumpulan anti-rejim berjaya menawan ibu negaranya, Damsyik.
Berbicara mengenai Syria, negara tersebut terletak di kawasan Timur Tengah yang dikenali dengan bumi yang penuh keberkatan dan sejarahnya yang tersendiri.
Wilayah ini bukan sahaja menyimpan khazanah tamadun purba, malah mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam.
Sejak zaman dahulu, Syria menjadi persimpangan penting dalam perdagangan, budaya dan tamadun, yang menjadikannya sebagai tanah yang kaya dengan keunikan dan nilai spritualnya.
Penasihat Muslim Care Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, Syria begitu dekat di hati terutamanya bagi pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di sana.
"Walaupun ada yang terlepas satu atau dua cerita mengenai kezaliman pemerintah, namun ramai rakyat Syria mengambil pendirian mengunci mulut kerana itulah lebih bermanfaat dan lebih baik untuk diri dan keluarga mereka.
"Tetapi apa yang berlaku pada 8 Disember 2024 yang lalu, sebuah peristiwa yang penuh dengan pengajaran buat rakyat Syria dan kita semua,” katanya pada Majlis Pelancaran Malaysia Aid 2 Syria di Rawang baru-baru ini.
Kebijaksanaan Ahmed Ash-Sharaa
Menurutnya, kebijaksanaan pemimpin anti-rejim itu iaitu Ahmed Ash-Sharaa ketika ditemu bual agensi berita CNN menunjukkan beliau seorang yang sangat strategik dan faham mengenai siasah (politik) dunia.
"Jawapan yang diberikan beliau cukup mendamaikan. Sebagai contoh, ketika beliau ditanyakan mengenai peranan wanita, apakah pihaknya akan mengikut kaedah Taliban?
"Beliau menyatakan, kami pernah memerintah Idlib (bandar di Syria) dan di sana pelajar-pelajar wanita lebih ramai daripada pelajar lelaki di peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah di universiti.
"Itulah jawapannya yang bijak dan kini beliau juga melantik menteri daripada kaum wanita dan Gabenor Bank Negara juga adalah wanita,” jelasnya.
ALLAH memberkati bumi Syria
Tambah Dr Zulkifli, banyak lagi contoh yang boleh diberikan mengenai keadaan Syria namun ALLAH SWT telah menjadikan bumi Syam ini (Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan) dengan satu gelaran yang jarang diperoleh di tempat lain iaitu berkat seperti mana banyak dalil dalam ayat al-Quran dan hadis.
"Ibnu Abbas RA menyatakan, berkat dikategorikan kepada dua iaitu berkat dunia dan berkat diniyyah (agama).
"Hawa dan iklim Mediterranean di sana juga menjadikan tanah-tanahnya berkat menyebabkan dua buah yang disebut di dalam al-Quran iaitu buah tin dan zaitun begitu subur,” jelasnya lagi.
Menurut Dr Zulkifli, ia belum dikira buah-buahan yang lain seperti buah tembikai yang sebesar perut ibu mengandung.
Ramainya nabi, sahabat dan para ulama hingga kini
Jelasnya, selepas seminggu bertukar pemerintahan, harga pelbagai barangan mengalami penurunan.
"Luar biasa hebatnya apabila pemimpin bertakwa, mereka dapat menurunkan harga barangan untuk rakyat berbanding pemerintahan sebelumnya yang banyak melakukan rasuah,” katanya.
Berkat yang kedua yang ada di bumi Syria adalah berkat dalam aspek agama.
"Cukup panjang jika hendak disenaraikan nama-nama mereka dan di sana juga para ulama Mazhab Hanafi dan Syafie seperti Imam An-Nawawi sehinggalah kepada tokoh-tokoh ulama zaman sekarang. Cukup ramai,” katanya.
Jelasnya, sejarah menunjukkan bumi yang penuh dengan keberkatan ini tidak boleh menerima pemimpin-pemimpin yang zalim.
"Sekalipun ia berlaku, akan ada titik akhir dan masa penamatnya seperti mana Rom yang begitu kuat berjaya direbahkan oleh tentera Islam.
"Rakyat yang dizalimi di dalam penjara pula, doa mereka ALLAH akan terima dan Syria akan menjadi satu tempat yang hebat pada masa akan datang.
"Kita boleh tengok sekarang Arab Saudi memberikan sokongan sepenuhnya, Qatar juga dan sebelum itu Kuwait dan Turkiye adalah antara negara yang paling awal memberikan bantuan dan semangat kepada mereka selepas berlakunya perubahan tampuk pemerintahan itu,” hurainya lagi.
"Sekarang kita mungkin membantu mereka. Suatu masa nanti mereka pula akan menolong kita atau ALLAH SWT akan memberikan pertolongan-NYA pula kepada kita,” katanya.