KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menjalankan rondaan di 21 lokasi pantai tumpuan ramai yang kini diancam bahaya akibat hakisan.
Pengarahnya, Nor Mahathir Muhammad berkata, pemantauan itu bagi memastikan orang ramai tidak berkumpul dan menjalankan aktiviti rekreasi yang boleh membahayakan keselamatan.
Beliau berkata, lokasi itu termasuk di daerah Kuala Nerus, Kemaman, Besut, Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Setiu.
"Lapan balai terlibat dengan tugas rondaan ini. Setiap pasukan terdiri lapan anggota yang bertugas secara tiga syif setiap hari, susulan jangkaan air pasang dan ombak besar melebihi tiga meter hingga 19 Jan.
"Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai terutama di kawasan hakisan teruk yang boleh mengundang bahaya pada musim Monsun Timur Laut (MTL)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Nor Mahathir berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati terdapat segelintir masyarakat yang memandang remeh isu keselamatan dengan membawa keluarga bersiar di pantai pada musim MTL termasuk mengutip kerang terutama di Pantai Sura di Dungun.
"Orang ramai berduyun-duyun datang mengutip kerang di Pantai Sura seperti pesta tanpa memikirkan keselamatan diri walaupun telah diberikan amaran malah ada yang membawa anak kecil.
"Pada masa sekarang kelajuan angin boleh mencapai 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak setinggi 3.5 meter. Janganlah merisikokan keselamatan diri untuk keseronokan seketika," katanya. - Bernama