KUANTAN - Semua wang simpanan berjumlah RM137,000 milik seorang pentadbir syarikat swasta lebur selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian berlaku apabila lelaki berusia 32 tahun itu menerima tawaran menyertai pelaburan melalui satu pautan yang diberikan untuk memuat turun aplikasi tertentu.
"Selepas menyertai pelaburan tersebut, mangsa diarahkan memindahkan wang sebanyak RM87,000 daripada akaun banknya ke aplikasi berkenaan bermula dari 28 November hingga 15 Januari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Yahaya berkata, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran deposit sebanyak RM50,000 untuk mengeluarkan keuntungan yang dianggarkan berjumlah RM100,000.
"Mangsa mula menyedari telah ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan," katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
"Orang ramai yang ingin membuat pelaburan boleh mendapatkan maklumat daripada agensi polis dan Bank Negara Malaysia supaya tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.