Cari penyelesaian terbaik mendepani cabaran keterjaminan makanan

Iklan
Gambar hiasan

MALAYSIA berhadapan dengan cabaran kritikal dalam memastikan keterjaminan makanan pada masa depan terutama apabila mendepani perubahan iklim yang semakin tidak menentu serta ketidakstabilan geopolitik global.

Kedua-dua faktor ini bukan sahaja mengancam pengeluaran makanan domestik tetapi juga menjejaskan rantaian bekalan makanan global seterusnya mempengaruhi harga dan ketersediaan bahan makanan untuk rakyat.

Iklan
Iklan

Perubahan iklim membawa implikasi besar kepada sektor pertanian Malaysia. Fenomena seperti banjir besar, kemarau berpanjangan dan kenaikan suhu menyebabkan gangguan kepada hasil tanaman utama negara seperti padi, buah dan sayur.

Sebagai contoh banjir kilat yang kerap merosakkan ladang dan infrastruktur pertanian, manakala suhu panas berlebihan mengurangkan kadar pertumbuhan tanaman.

Iklan

Di peringkat antarabangsa, konflik geopolitik seperti perang Rusia-Ukraine menjejaskan bekalan bahan makanan penting seperti gandum dan baja.

Keadaan ini memberi kesan kepada rantaian bekalan global hingga meningkatkan kos import dan menyumbang kenaikan harga makanan tempatan yang membebankan pengguna serta petani.

Iklan

Justeru, bagi menangani cabaran tersebut, Malaysia perlu melaksanakan strategi bersepadu bagi mengukuhkan sektor pertanian domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

Antara langkah yang boleh diambil termasuk penggunaan teknologi pertanian pintar seperti sistem fertigasi dan pertanian bandar untuk meningkatkan hasil tanaman.

Usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga harus diperhebatkan bagi menghasilkan benih tahan lasak yang mampu bertahan dalam pelbagai keadaan cuaca ekstrem.

Kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta amat penting untuk meningkatkan pelaburan dalam teknologi hijau serta mempromosikan amalan pertanian lestari.

Pada masa sama, memperkukuhkan stok simpanan makanan strategik serta memperbaiki pengurusan rantaian bekalan akan memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara.

Dengan perancangan strategik dan tindakan proaktif, Malaysia mampu menghadapi cabaran keterjaminan makanan pada masa depan dengan lebih mantap, sekali gus memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.