SHAH ALAM – Malaysia menggesa bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada rakyat Palestin yang kini berdepan dengan krisis bekalan makanan, sumber air bersih, bahan api dan keperluan perubatan serta kesihatan susulan pengumuman gencatan senjata antara Hamas dan Israel.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara juga berharap usaha restorasi pasca perang dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk membantu lebih 2.3 juta penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan itu.
"Alhamdulillah, Malaysia menzahirkan rasa syukur atas pengumuman gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin dan mencetuskan ketegangan berpanjangan di Asia Barat.
"Gencatan senjata awal selama enam minggu ini yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden adalah hasil rundingan bersama Mesir dan Qatar. Langkah ini merangkumi penarikan balik tentera Israel secara berperingkat serta pembebasan tebusan oleh Hamas dan dijangka berkuat kuasa pada Ahad ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Media antarabangsa terdahulu melaporkan Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman mengumumkan perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui Hamas dan Israel membabitkan tiga fasa mulai Ahad ini.
Fasa pertama yang berlangsung 42 hari bakal menyaksikan Hamas membebaskan 33 tahanan Israel dan sebagai pertukaran, Israel pula membebaskan kira-kira 2,000 tahanan Palestin termasuk 250 orang yang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Qatar, Mesir dan AS yang sebelum ini menjadi perantara usaha damai antara kedua-dua pihak itu akan terus memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata termasuk kemungkinan sebarang pelanggaran.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, gencatan senjata tersebut adalah satu permulaan ke arah menamatkan krisis lebih 460 hari tersebut dan menghentikan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan.
Beliau menegaskan, sebagai negara yang sentiasa mendukung perjuangan Palestin, Malaysia tetap berpendirian tegas menentang sebarang bentuk pendudukan secara haram di Gaza.
"Kami juga menyokong sepenuhnya usaha pertukaran tahanan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada proses pendamaian yang lebih luas.
"Kita sebagai rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin dan menyeru komuniti antarabangsa untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kestabilan serta keamanan di rantau ini,” ujarnya.