UEM Lestra, ESR Group meterai ikatan pembekalan elektrik hijau di bawah CRESS

Iklan
UEM Lestra dan ESR Group Ltd memeterai ikatan pembekalan elektrik hijau melalui akses pihak ketiga di bawah CRESS pada Khamis.

PUTRAJAYA - UEM Lestra dan ESR Group Ltd memeterai ikatan pembekalan elektrik hijau melalui akses pihak ketiga di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) hari ini.

Menerusi kenyataan pada Khamis, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menjelaskan berdasarkan aturan itu, UEM Lestra sebagai penjana tenaga boleh baharu (TBB) akan membekalkan elektrik hijau yang dijana melalui sistem grid syarikat utiliti kepada ESR Group Ltd pada kadar dan tempoh yang dipersetujui.

Iklan
Iklan

Menurut Petra, pertukaran dokumen ikatan pembekalan elektrik hijau itu, yang diadakan pada majlis pelancaran portal MyEnergyStats oleh Suruhanjaya Tenaga, disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Khamis.

"Ikatan pembekalan elektrik hijau antara kedua-dua syarikat ini merupakan antara yang terawal berjaya dimeterai sejak program CRESS dilaksanakan pada 20 September 2024.

Iklan

"Selain UEM Lestra dan ESR Group, TNB Renewables juga telah menandatangani perjanjian pembekalan tenaga elektrik hijau dengan Bridge Data Centre untuk pembekalan 400 megawatt bekalan elektrik hijau secara akses pihak ketiga sebelum ini,” menurut PETRA.

CRESS merupakan antara inisiatif kerajaan dalam menyediakan pilihan dan memperluas akses pembekalan elektrik hijau kepada pengguna elektrik yang berminat, jelasnya.

Iklan

Kementerian itu memaklumkan langkah tersebut akan membolehkan syarikat korporat yang beroperasi di Semenanjung Malaysia memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) masing-masing dalam aspek bekalan elektrik.

Menurut Petra, beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan ke atas program CRESS sedia ada yang akan berkuat kuasa mulai 1 Mac, 2025 untuk memperkukuh pelaksanaan serta meningkatkan lagi akses bekalan elektrik hijau.

"Antaranya, pembukaan penyertaan CRESS kepada pengguna elektrik sedia ada yang ingin mendapatkan bekalan elektrik hijau secara langsung daripada penjana TBB serta Caj Akses Sistem (CAS) yang telah ditetapkan dikekalkan untuk tempoh tiga tahun berdasarkan tempoh regulatori Peraturan Berasaskan Insentif (IBR),” jelas kementerian itu.

Penambahbaikan lain adalah kadar perubahan kepada nilai CAS ditetapkan untuk tidak melebihi 15 peratus daripada nilai semasa untuk setiap tempoh regulatori, bagi memberikan kepastian kepada para pelabur mengenai kos pembekalan elektrik hijau di bawah CRESS untuk jangka masa panjang, tambahnya.

"Petra yakin dengan penambahbaikan program CRESS ini, ia akan berupaya menarik minat serta keyakinan lebih banyak syarikat korporat untuk menyertai program ini bagi mendapat akses bekalan elektrik hijau dalam memenuhi komitmen ESG masing-masing," menurut kenyataan tersebut. - Bernama