KUANTAN - Wanita disyaki terlibat dalam kes 'pukau' dan melarikan barang kemas bernilai RM4,000 milik jurujual sebuah butik kosmetik di Jaya Gading di sini pada November tahun lalu berjaya ditahan.
Suspek berusia 42 tahun berasal dari utara tanah air itu ditahan di Slim River, Perak, 9 Januari lalu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berikutan penahanan wanita itu, polis turun menahan seorang lelaki dipercayai teman lelakinya berusia 43 tahun disyaki turut terlibat.
Menurutnya, pengadu dalam kes itu juga telah mengenal pasti wajah suspek utama (wanita) hasil kawad cam yang dilakukan.
"Hasil siasatan dijalankan, suspek lelaki membawa polis ke rumah disewa mereka di Apartment Selesa Hill, Bukit Tinggi, Bentong sebelum menemui dan merampas barang kes terdiri pakaian dan aksesori yang digunakan suspek semasa kejadian.
"Turut dirampas lima jam tangan, cermin mata, resit pembelian emas, tiga utas rantai leher berserta loket, tiga gelang tangan dan tiga cincin," katanya pada sidang akhbar di IPD Kuantan di sini pada Khamis.
Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan dijalankan, suspek lelaki mengakui telah membawa wanita terbabit ke butik berkenaan menggunakan kereta jenis Perodua Bezza pada hari kejadian dan meletakkan kereta kira-kira 50 meter dari premis terbabit.
"Suspek wanita menjadikan jurujual wanita berusia 18 tahun itu sebagai sasaran dengan bertanyakan tentang produk kosmetik dijual di premis itu untuk mengalih perhatian mangsa.
"Mangsa kemudiannya diperdaya suspek kononnya dia mempunyai kedai emas dan meminta pengadu menyerahkan barang kemas untuk ditukarkan dengan barang kemas yang baru.
"Selepas mendapat barang kemas tersebut, suspek segera melarikan diri bagaimanapun dalam kejadian di sini itu, ia berjaya dirakam CCTV sebelum video itu dimuat naik dan tular di laman sosial," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan resit yang ditemui, suspek bertindak menukar barang kemas mangsa dengan barang kemas baharu di kedai emas dan wang lebihan digunakan untuk membeli barangan peribadi termasuk jam tangan.
"Selain kes di Kuantan, suspek disyaki turut terlibat dengan kes lain yang dilaporkan di Maran dan Temerloh.
"Berdasarkan semakan, wanita terbabit mempunyai 22 rekod jenayah lampau termasuk kes curi, tipu dan melanggar perintah pengawasan," katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 411 KK.
"Kedua-dua suspek ini juga akan diserahkan kepada polis IPD Temerloh untuk siasatan.
"Dengan tertangkapnya dua suspek ini, kami percaya telah berjaya melumpuhkan kegiatan penipuan licik secara bersemuka yang menjadikan wanita memakai barangan kemas sebagai sasaran," katanya.