KAJANG - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup masuk ke dalam negara bukan sahaja dikerah untuk membayar sehingga RM3,200 setiap seorang kepada sindiket, tetapi turut dikenakan caj harian sepanjang tempoh berada di rumah transit.
Itu antara yang dikesan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Pintas, di Bandar Mahkota Cheras, di sini pada Selasa.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan di sebuah unit flat kira-kira jam 9 malam itu dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Menurutnya, serbuan ini berjaya menahan 27 warga asing termasuk lapan wanita berusia 21 hingga 54 tahun.
"Siasatan mendapati tiga warga Indonesia termasuk seorang wanita berperanan sebagai penjaga rumah transit serta pembantunya.
"Suspek ini akan mengatur dan menyedia kemudahan tempat tinggal serta makanan kepada migran yang ditempatkan di unit flat sewa terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, tangkapan lain melibatkan 17 warga Indonesia serta tujuh warga Myanmar merupakan PATI.
Katanya, rumah transit yang digunakan adalah rumah yang disewa oleh penjaga rumah iaitu suspek wanita.
"Suspek akan mengenakan bayaran sewa sebanyak RM30 sehari ke atas setiap migran yang menginap di rumah tersebut.
"Hasil soal siasat awal terhadap migran, bayaran yang dikenakan untuk masuk atau keluar ke Malaysia adalah sebanyak RM1,500 hingga RM3,200 seorang," katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati kegiatan ini dipercayai dilakukan kumpulan dikenali Geng X7 yang aktif sejak Disember lepas.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 26A Akta Atipsom 2007," ujarnya.