KOTA BHARU - Kerajaan negeri tidak menerima sebarang aduan mengenai kerosakan serius harta benda daripada penduduk dan pemilik chalet resort di sepanjang pesisir Pantai Kandis dan Pantai Bisikan Bayu akibat air pasang besar.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memberitahu, pihaknya turut dimaklumkan setakat ini tiada kerosakan berskala besar yang dilaporkan selepas air pasang besar berlaku dua hari di pantai terbabit.
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya sedang memantau perkembangan berkenaan sehingga musim tengkujuh berakhir.
"Kita juga sudah meminta laporan penuh daripada Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) mengenai perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco pada Rabu.
Jelas beliau, hakisan berskala kecil sentiasa berlaku di pesisir pantai berkenaan terutama ketika air pasang sepanjang musim tengkujuh.
"Kita mengalu-alukan aduan dan laporan daripada penduduk atau pemilik resort jika ada kerosakan serius," ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa pemilik chalet dan penduduk pesisir Pantai Kandis dan Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini terjejas berikutan air pasang besar dan ombak tinggi yang membadai pantai berkenaan sejak dua hari lalu.
Ada di antara mereka mendakwa mengalami kerugian sehingga RM500,000 selepas banyak landskap di kawasan chalet dibadai ombak selain rumah penduduk dilimpahi air masin.