Lebih 300 terkandas: Hanya 18 jemaah umrah terima pemulangan wang setakat ini

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai lebih 30 jam jemaah umrah terkandas berkampung mahu tuntut semula wang.

SHAH ALAM - Hanya 18 daripada 379 jemaah menerima semula wang daripada pihak syarikat pengendali umrah setakat ini.

Peguam yang mewakili jemaah, Raudah Rais & Associates, Siti Raudah Mohd Rais berkata, pada malam Selasa, syarikat berkenaan hanya membuat pembayaran kepada seorang jemaah sahaja.

Iklan
Iklan

"Pembayaran itu dibuat pada jam 9 malam. Sebelum ini 17 orang dan terbaharu 18, pertambahan hanya seorang.

"Individu ke-18 ini menerima wang pulangan sebanyak RM22,000. Kita lihat pihak syarikat membuat pembayaran secara rawak kerana ada dalam kalangan jemaah dengan jumlah yang kecil seperti RM11,000 belum lagi terima,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, syarikat pengendali umrah itu berdepan dengan tindakan penggantungan operasi selama tujuh hari.

Tegas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan, tindakan itu berkuat kuasa pada Rabu sekiranya syarikat berkenaan gagal membuat pemulangan wang sehingga malam Selasa.

Iklan

Ketika ditanya mengenai bayaran keseluruhan diterima jemaah, beliau berkata, jumlah tersebut sebenarnya tidak mencecah RM500,000 seperti diumumkan syarikat berkenaan.

"Semalam mereka ada keluar kenyataan bahawa pemulangan wang sebanyak RM500,000 kepada jemaah telah dibuat. Itu tidak benar.

"Jumlah bagi kesemua (18 jemaah yang terima pemulangan wang) tidak mencecah RM500,000,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu bahawa anggaran keseluruhan wang yang patut diterima jemaah dianggarkan sebanyak RM2.1 juta.

"Jumlah ini mungkin lebih kerana ada dalam kalangan jemaah yang ambil pakej berasingan iaitu berharga RM6,900. Harga RM11,000 ini untuk pakej berdua.

"Kita hanya membuat pengiraan secara pukal yang mana kesemua jemaah ini ambil pakej RM11,000 itu, tapi sebenarnya tidak. Jadi mungkin jumlah sebenar yang perlu dibayar lebih daripada RM2.1 juta,” jelasnya.