MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menandatangani perjanjian Kontrak Sivil Utama (CMC) bagi Segmen 1 Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara bersama SRS Consortium Sdn Bhd.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, CMC Segmen 1 projek bernilai RM8.31 bilion itu akan menghubungkan Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang-A (PSR-A) ke KOMTAR dengan anggaran jajaran sepanjang 24 kilometer (km).
"SRS Consortium memiliki pengalaman dan kepakaran luas dalam projek ini atas keterlibatan mereka sejak awal projek, termasuk kajian teknikal serta dalam mendapatkan kelulusan penting.
"Proses rundingan perolehan antara MRT Corp dan SRS Consortium yang berlangsung sejak April 2024 telah dijalankan dengan penuh teliti dan menyeluruh," katanya ketika sidang akhbar selepas menyaksikan majlis permeteraian MOU tersebut, di sini pada Isnin.
SRS Consortium merupakan konsortium yang diketuai Gamuda Bhd bersama Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd yang juga terlibat sebagai Project Delivery Partner (PDP) untuk Penang Transport Master Plan (PTMP).
Sebagai rekod pada Mac 2024, kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dan keputusan itu dicapai susulan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan.
Dalam pada itu, Anthony memaklumkan, penambahbaikan bagi Projek LRT Laluan Mutiara adalah sambungan jajaran ke Penang Sentral yang membentuk Segmen Kedua laluan tersebut.
Menurutnya, sambungan dari Macallum ke Penang Sentral sepanjang kira-kira 6 km melibatkan pembinaan jejambat merentasi laut sepanjang 3.2 km dengan rentang navigasi yang membolehkan kapal dan feri berlayar ke pelabuhan di Prai serta Butterworth.
"Sambungan penting ini meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai, sekali gus membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas serta menyediakan pengangkutan alternatif yang lebih cekap untuk rakyat.
"Penang Sentral juga bakal menjadi hab utama yang mengintegrasikan pelbagai mod pengangkutan termasuk bas, kereta api dan feri," jelasnya.
Anthony berkata, tender CMC Pakej 2 dijangka akan dibuka pada Julai depan menerusi proses tender terbuka manakala Kontrak Sistem Turnkey (STC) yang merangkumi rekabentuk, perolehan, pembinaan, ujian serta penyelenggaraan sistem kereta api ditutup 14 April 2025.